TIADA Data Jadi Punca - ZK

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/15/20241 min read

KETIADAAN data mencukupi terhadap Litar Go Kart Aragon, Sepanyol menjadi antara punca barisan pelumba negara tidak berjaya menampilkan prestasi terbaik ketika FIM MiniGP Dunia Final 2024, kata Pengurus FIM MiniGP Malaysia, Zulfahmi Khairuddin.

Pada edisi kali ini, Malaysia terpaksa pulang hampa apabila kelima-lima pelumba negara yang beraksi dalam kategori MiniGP 160 dan 190 tampak bergelut terutama ketika sesi berlangsung dalam keadaan litar basah, semalam.

Dan sekalipun dikuatkan dengan kehadiran Qabil Irfan Azlan sebagai penyandang juara, keputusan yang diharapkan tidak berjaya dijelmakan.

"Sebenarnya apabila Aragon diumumkan sebagai pengganti kepada Valencia, saya merasai sedikit kebimbangan," kata Zulfahmi.

"Berbeza dengan Valencia, kita tidak mempunyai data tentang litar ini dan ini meletakkan kita dalam keadaan ‘kekurangan' dengan kelebihan dinikmati para pelumba dari Eropah khususnya Sepanyol.

"Tetapi pelumba-pelumba kita berupaya untuk cepat memahami keadaan trek untuk beraksi dengan baik pada sesi latihan bebas.

"Malangnya, sesi kelayakan berlangsung di litar basah dan ia menjejaskan prestasi pelumba termasuk Qabil dan Farish Hafiy yang terjatuh pada sesi kelayakan.

"Tetapi apabila Perlumbaan Super Final diisytiharkan sebagai perlumbaan kering, Qabil nyata amat kompetitif dan berjaya mendapat podium."

Menurut Zulfahmi, disebabkan kempen kelayakan yang kurang baik, beberapa pelumba negara terpaksa memulakan perlumbaan di barisan tengah malah seorang wakil negara turut tersisih selepas mengalami kemalangan ketika kelayakan iaitu Farish Hafiy.

"Secara keseluruhan, saya amat gembira dan berpuas hati dengan persembahan para pelumba negara khususnya dengan kejayaan mencipta dua kejayaan podium kerana ini pengalaman pertama kami di Aragon."

Selain Qabil yang menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan kelima MiniGP 190, Malaysia turut diwakili Qayyim Razin (ke-11) dan Adam Danial (ke-18) manakala Airel yang beraksi dalam kelas MiniGP 160 menamatkan kempen di kedudukan keenam keseluruhan.