TIADA Ducati, Tiada Masalah

Selepas kedudukan bersama Ducati di MotoGP tampak samar, timbul khabar angin yang bertiup kencang mengaitkan Nicolo Bulega dengan kekosongan di pasukan Trackhouse Aprilia, selepas pelumba Jepun, Ai Ogura dilaporkan bakal berhijrah ke Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/18/20261 min read

PELUMBA pasukan Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega mengesahkan pengurusnya kini dalam proses rundingan bersama 'beberapa' pasukan bagi merealisasikan impiannya beraksi di pentas MotoGP pada musim 2027.

Kenyataan itu hadir susulan khabar angin yang bertiup kencang mengaitkannya dengan kekosongan di pasukan Trackhouse Aprilia, selepas pelumba Jepun, Ai Ogura dilaporkan bakal berhijrah ke Yamaha.

Sedang memimpin carta kedudukan WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2026, peluang Bulega juga pelumba ujian pasukan Ducati Corse di MotoGP untuk ke MotoGP bersama Ducati dilihat tampak sukar berikutan situasi semasa.

Begitupun, pelumba Itali berusia 26 tahun itu jelas belum berputus asa dan menegaskan sebarang keputusan muktamad dijangka tidak akan berlaku sehinggalah pelumba-pelumba berstatus 'bintang' mengesahkan pasukan masing-masing.

"Sejujurnya buat masa ini saya tidak boleh beritahu apa-apa lagi, kerana kami sedang menunggu untuk melihat apa yang akan berlaku kepada pelumba nama besar di MotoGP," kata Bulega kepada laman web rasmi WSBK menjelang pusingan di Assen, hujung minggu ini.

"Tetapi impian saya sejak kecil memang sentiasa mahu ke MotoGP, sama seperti pelumba lain. Buat masa ini saya sangat, sangat gembira berada di sini (WSBK), tetapi impian tetap impian. Jadi, pengurus saya sedang bercakap dengan beberapa pasukan di MotoGP, dan kita akan lihat dalam masa terdekat apa yang akan saya lakukan tahun depan."

Sebagai rekod, selepas muncul naib juara di belakang Toprak Razgatlioglu musim lalu, Bulega terlebih dahulu 'memintas' bintang Turki itu untuk membuat penampilan sulung di pentas MotoGP.

Dia bertindak cemerlang sebagai pelumba gantian buat juara dunia dari pasukan Ducati, Marc Marquez yang cedera pada dua pusingan terakhir musim lalu, malah berjaya mengutip mata dalam kedua-dua perlumbaan berkenaan.

Bulega kemudian terus mengukuhkan harapannya untuk memburu kerusi sepenuh masa bagi era peralihan tayar Pirelli pada 2027, apabila melengkapkan peranan sebagai pelumba ujian MotoGP Ducati seiring dengan kempen WSBK tahun ini.

Prestasi Bulega pada musim ini berada pada tahap luar biasa apabila dia menyapu bersih kesemua enam perlumbaan awal sekali gus memberikannya kelebihan mata yang selesa di persada kejuaraan.