TIADA Honda ADV 250, Tapi Honda ADV 350 Akan Dilancar Di Malaysia, Q3 2024!
TERKINI
1/17/20241 min read


SEJAK pelancaran Honda ADV 350 di pasaran global, ramai peminatnya terutama di Malaysia menantikan kehadiran 'Kembar' model itu - Honda ADV 250 namun tiada perkembangan lanjut menarik diperoleh mengenainya.
Dan selepas sekian lama menunggu, apa yang boleh dikatakan adalah tiada model 250 akan dilancarkan oleh Honda dengan segala petunjuk dan informasi menyatakan Malaysia akan turut menerima model 350.
Dikhabarkan akan memasuki pasaran pada tahun lalu, ia begitupun tidak menjadi kenyataan dengan perkembangan terbaharu - menurut laporan rakan media - menyatakan ia akan dilancarkan pada tahun ini.
Berdasarkan informasi yang diperoleh rakan media Paultan.org, skuter berkenaan dikatakan akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.
Menurut sumber yang mereka peroleh, kelewatan pelancaran Honda ADV 350 adalah disebabkan situasi birokrasi dan Boon Siew Honda Malaysia menjelaskan mereka sudah melakukan yang terbaik.
Antara masalahnya adalah membabitkan permit import.
Dengan maklumat yang diperoleh, Honda ADV 350 yang bakal dijual di pasaran tempatan adalah unit Import Penuh (CBU) dari Jepun.
Justeru, harga yang bakal ditawarkan untuk skuter berkenaan berkemungkinan berada di atas RM 30k.
Tampil dengan rekaan yang menarik dengan gabungan antara dua model Honda ADV 160 dan Honda X-ADV 750, spesifikasi ringkas Honda ADV 350 adalah seperti berikut:
Enjin 330 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Enjin patuh piawaian emisi Euro 5 itu menghamburkan kuasa 28.83 Hp pada 7,500 rpm dan tork 31.5 Nm pada 5,250 rpm.
Kapasiti bahan api 11.7 liter (Jarak tempih sejauh 340 km pengisian penuh petrol)
Honda Selectable Torque Control (HSTC)
Sistem lampu LED penuh, Panel meter digital LCD lengkap dengan Honda Smartphone Voice Control, Visor penghadang angin dengan ciri pelarasan (2 tahap), Sistem Smart Key, Soket pengecas USB Type-C, Sistem brek ESS (Emergency Stop Signal)
Ruang simpanan bawah pelana 48 liter












