TIADA Kebangkitan, Damok Jatuh Di Phillip Island Kerana Hujan Lebat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/22/20231 min read

KEBANGKITAN yang diharapkan pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman ketika beraksi di GP Australia tak menjadi kenyataan selepas dia tak berjaya menamatkan perlumaban selepas terjatuh, hari ini.

Perlumbaan di Phillip Island berlangsung dalam keadaan litar basah susulan hujan lebat dengan perlumbaan dimenangi oleh pelumba Turki, Deniz Oncu.

Pelumba yang memulakan perlumbaan di petak utama, Ayumu Sasaki dari Jepun menamatkan saingan di tempat kedua manakala Joel Kelso melengkapkan posisi podium.

Dalam kenyataan media dari ZK Racing, Damok yang berlumba bersama pasukan MT Helmets-MSi mengakui kecewa dengan keputusan yang diperoleh pada hari ini sekalipun mengakui dia berada dalam kedudukan yang baik.

“Walaupun dalam perlumbaan tadi saya berada di kedudukan yang baik, visor saya yang kabur membuatkan saya tidak dapat mengorak langkah untuk berada bersama kelompok di hadapan.

"Dari awal perlumbaan saya tidak nampak apa-apa dari visor saya. Saya tidak nampak jalan, garisan perlumbaan dan juga pelumba lain. Saya hanya nampak lampu sahaja.

"Saya terpaksa teruskan perlumbaan dan saya akur sekiranya saya terjatuh kerana saya tidak dapat melihat apa-apa. Saya bersyukur walaupun terjatuh, saya masih dalam keadaan baik.

"Minggu ini adalah minggu yang sangat sukar buat saya. Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang bekerja keras pada minggu ini, serta pihak penaja, ZK Racing, SIC Racing dan yang lain-lain.

"Saya akur dengan apa yang berlaku dan saya harap perkara ini tidak berlaku lagi dalam perlumbaan seterusnya. Saya perlu terus fokus untuk perlumbaan minggu hadapan di Buriram dan saya perlu terus semangat, berikan 100 peratus lagi dalam perlumbaan.”

Turut mengalami nasib sama adalah rakan sepasukan Damok, Diogo Moreira.

Ketika ini, Damok menghuni tangga ke-27 kedudukan pelumba Moto3 selepas mengutip lima mata kejuaraan daripada 16 pusingan perlumbaan.