TIADA Kebangkitan, Hakim Danish Tamatkan Perlumbaan 2 RBMRC Di Tangga Ke-10 Di Assen

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/30/20241 min read

KEBANGKITAN yang diharapkan dapat dijelmakan Hakim Danish Ramli pada Perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup di Assen, Belanda, hari ini tak berjaya dicapai apabila sekali menamatkan aksi di kedudukan ke-10.

Keputusan itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu mengulangi kedudukan yang diraihnya pada Perlumbaan 1, semalam.

Memulakan perlumbaan di petak ke-10, Hakim Danish tampak tidak berjaya meletakkan dirinya di kelompok depan perlumbaan yang diisi enam pelumba ketika saingan berbaki 10 pusingan.

Dan situasi itu menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu terpaksa bersaing di kelompok kedua malah pada satu ketika berada di kedudukan ke-13 sebelum melepasi garisan penamat di tempat ke-10.

Perlumbaan dimenangi pelumba Argentina, Marco Morelli diikuti Alvaro Carpe di kedudukan kedua dan pelumba Finland, Rico Salmela melengkapkan kedudukan podium.

Keputusan Perlumbaan 2 turut menyaksikan Hakim Danish jatuh ke kedudukan ke-6 carta pelumba dengan mengumpul 83 mata dengan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, mengungguli carta dengan 140 mata.

Pusingan 5 RBMRC 2024 dijadual berlangsung pada Ogos depan (17 dan 18 Ogos) di Red Bull Ring, Austria.