ADAM Norrodin terus dipalit malang apabila disahkan tidak cergas untuk beraksi pada Pusingan 11 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Estoril, Portugal minggu ini.
Menurut pasukannya PETRONAS MIE Racing Honda, pelumba kelahiran Johor itu didapati masih belum pulih daripada kecederaan retak ibu jari kaki kanan yang dihadapinya sebelum ini.
Apa lebih mengecewakan, Estoril adalah kali keenam bekas pelumba Moto3 negara itu tidak beraksi di pentas kelas perdana WorldSBK itu selepas kali terakhir berlumba di Donington Park, UK.
Adam sebelum ini menyertai sesi pertama pusingan di Aragon, Sepanyol penghujung bulan lalu sebelum terpaksa menarik diri berikutan kecederaan yang dialaminya.
"Sudah tentu ia mengecewakan kerana sasaran saya adalah untuk melengkapkan dua pusingan terakhir ini selepas tidak dapat berlumba pada pusingan di Aragon," kata Adam.
"Saya benar-benar berharap dapat berlumba di Estoril tetapi selepas menjalani ujian imbasan, keretakan masih ada.
"Jadi saya akan meneruskan sesi pemulihan saya dan berharap dapat beraksi pada pusingan terakhir di Jerez (Sepanyol) nanti.
"Ia sesuatu yang sukar buat saya, terutama secara mental kerana saya sudah terlepas begitu banyak pusingan sebelum ini."
Kekosongan Adam akan diisi pelumba gantian dari Portugal, Ivo Lopes.
Pada aksi di Aragon, Adam dibenarkan untuk menunggang jenteranya Honda CBR1000RR-R pada sesi Jumaat tetapi kemudian disahkan tidak cergas untuk meneruskan kempen pada minggu itu berikutan kesakitan yang dialaminya.
Selepas pusingan di Portugal, saingan WSBK 2024 akan menutup tirainya di Jerez, Sepanyol pada 19 hingga 20 Oktober ini.