TIADA Kelibat Jorge Martin Di Phillip Island, Sepang Mungkin Sama!

Jorge Martin yang mewakili pasukan Aprilia Racing mengalami kecederaan retak tulang selangka kanan di dua bahagian selepas melakukan kesilapan di zon membrek pada selekoh pertama sebelum melanggar rakan sepasukan Marco Bezzecchi di Jepun

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/4/20251 min read

JUARA dunia MotoGP 2024 Martin, disahkan tidak akan beraksi pada GP Australia di Phillip Island pada 17 hingga 19 Oktober ini susulan kecederaan yang dialaminya ketika perlumbaan Sprint di Motegi, Jepun minggu lalu.

Martin, yang mewakili pasukan Aprilia Racing, mengalami retak tulang selangka kanan di dua bahagian selepas melakukan kesilapan di zon membrek pada selekoh pertama sebelum melanggar rakan sepasukan Marco Bezzecchi.

Insiden itu turut menyebabkan Bezzecchi terjatuh, namun pelumba Itali itu tidak mengalami kecederaan serius.

Martin sudah pun menjalani pembedahan di Sepanyol awal minggu ini dan terpaksa menarik diri daripada perlumbaan di GP Indonesia, Mandalika minggu ini.

Dan perkembangan terbaharu, Pengurus pasukan Aprilia, Paolo Bonora, mengesahkan bahawa pelumba Sepanyol itu tidak akan menyertai aksi di Phillip Island.

“Ia satu kecederaan besar, bukan retakan biasa. Ada dua bahagian yang terjejas,” kata Bonora kepada wartawan Dorna, Jack Appleyard, ketika sesi latihan Jumaat di Mandalika.

Ketiadaan Martin di Australia turut menimbulkan keraguan terhadap penyertaannya di Sepang pada minggu berikutnya, lokasi yang menyaksikan pelumba itu mengalami kecederaan semasa ujian pramusim Februari lalu.

Musim MotoGP 2025 akan menutup tirai dengan dua lagi pusingan di Portimao dan Valencia, namun penyertaan Martin masih belum dapat dipastikan.

Aprilia menegaskan mereka akan memberikan sokongan penuh kepada Martin dan berharap pelumba itu dapat pulih sepenuhnya sebelum musim berakhir.