TIADA Kelibat Jorge Martin Di Sepang?
Susulan kecederaan yang dihadapi Jorge Martin ketika Perlumbaan Sprint di Motegi, Jepun, Aprilia Racing memberi bayangan pelumba kelahiran Sepanyol itu mungkin tidak sempat pulih menjelang perlumbaan di Malaysia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/29/20251 min read


APRILIA enggan terburu-buru meletakkan semula pelumba bintangnya, Jorge Martin yang berdepan kecederaan ketika Grand Prix (GP) Jepun 2025 di Motegi ke grid perlumbaan.
Situasi berkenaan berkemungkinan menyaksikan harapan peminat MotoGP tanah air untuk menyaksikan kelibat penyandang juara dunia MotoGP iutu di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS pada hujung Oktober ini tampak pudar.
Susulan kecederaan yang dihadapinya, Aprilia Racing memberi bayangan pelumba kelahiran Sepanyol itu mungkin tidak sempat pulih menjelang perlumbaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola, menyatakan Martin memerlukan secukupnya masa sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan serius di Perlumbaan Sprint.
Martin mengalami patah tulang selangka kanan selepas terbabas di selekoh pertama akibat kesilapan brek yang disifatkan Rivola sebagai “Kesilapan penilaian yang serius”.
Lebih malang, insiden itu turut membabitkan rakan sepasukannya Marco Bezzecchi, yang bernasib baik tidak mengalami kecederaan.
“Dia akan menjalani pembedahan di Barcelona dan kami tidak tetapkan sebarang tarikh untuk dia kembali. Fokus utama adalah kesihatan dan pemulihan,” kata Rivola kepada media di Motegi.
Ditanya sama ada Martin akan beraksi di Mandalika minggu depan, Rivola mengesahkan pelumba Sepanyol itu akan terlepas perlumbaan itu, malah turut meragui penyertaannya di Phillip Island dan Sepang.
“Saya langsung tidak fikir tentang dua perlumbaan berikutnya. Yang penting, dia pulih sepenuhnya. Tiada keperluan untuk tergesa-gesa,” katanya.
Sebagai rekod, GP Malaysia 2025 dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober, kurang sebulan dari sekarang.
Martin sebelum ini sudah terlepas hampir keseluruhan musim akibat tiga kemalangan berasingan, termasuk insiden pra-musim di Sepang yang menyaksikan dia mengalami kecederaan teruk.
Sekiranya Martin tidak beraksi di Malaysia, ia bakal menjadi satu lagi episod pahit buatnya di Sepang, litar yang menyimpan kenangan buruk sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, Bezzecchi yang kini memburu tempat ketiga keseluruhan, disahkan cergas untuk beraksi meskipun mengalami kecederaan kaki.
Dia kemudian menamatkan perlumbaan GP di tempat ke-4 dan hanya 10 saat di belakang juara, Francesco Bagnaia.
