TIADA Kelibat Marc Marquez Di Sepang

Juara dunia MotoGP 2025 yang baru dinobatkan, Marc Marquez, disahkan tidak akan menyertai perlumbaan Grand Prix Australia dan Malaysia susulan kecederaan bahu yang dialaminya ketika beraksi di Grand Prix Indonesia, Ahad lalu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/6/20251 min read

PERKEMBANGAN mengecewakan khususnya buat peminat MotoGP di Malaysia apabila juara dunia musim ini, Marc Marquez disahkan tidak akan beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2025, hujung bulan ini.

Selain aksi di Litar Antarabangsa Sepang, pelumba kelahiran Sepanyol itu turut tidak beraksi di GP Australia 2025.

Situasi malang itu diperoleh selepas juara dunia sembilan kali itu mengalami kecederaan susulan kemalangan ketika GP Indonesia hujung minggu lalu.

Pelumba pasukan Ducati Lenovo itu, yang baru sahaja merangkul gelaran dunia ketujuh di Jepun pada minggu sebelumnya, terbabit dalam kemalangan pada pusingan pertama bersama pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, menyebabkan tulang selangka kanannya retak.

Marquez, 32, segera pulang ke Sepanyol pada malam Ahad untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Ruber Internacional, Madrid.

Pasukan perubatan mengesahkan beliau mengalami “retakan di pangkal proses korakoid serta kecederaan ligamen pada bahu kanan”.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan tambahan pada lengan kanannya selain tiada peralihan tulang yang ketara.

Susulan itu, pakar ortopedik Dr Samuel Antuna dan Dr Ignacio Roger de Ona menasihatkan agar pembedahan tidak dilakukan, sebaliknya Marquez perlu menjalani proses pemulihan melalui rehat dan imobilisasi kawasan terjejas.

Ducati dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa Marquez akan diketepikan daripada menyertai Grand Prix Australia dan Malaysia, dengan jangkaan pelumba itu hanya akan kembali beraksi selewat-lewatnya di GP Portugal pada November.

“Syukur kecederaan ini tidak serius, namun penting untuk saya patuhi tempoh pemulihan yang ditetapkan,” kata Marquez.

“Sasaran utama saya dan pasukan sudah tercapai, jadi keutamaan kini adalah untuk pulih sepenuhnya dan kembali dalam keadaan terbaik.”

Insiden di Mandalika itu berlaku hanya seminggu selepas Marquez menamatkan kemarau enam tahun kejuaraan dunia MotoGP, sekali gus menebus episod kecederaan yang dialaminya pada 2020.