TIADA Kelibat Zaqhwan Zaidi Di Perlumbaan WorldSBK Australia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/22/20251 min read

DETIK mengecewakan ditempuh Mohd Zaqhwan Zaidi pada penampilan sulungnya di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Phillip Island, Australia apabila pelumba negara itu tidak melepasi had kelayakan untuk berlumba.

Pada sesi kelayakan atau Superpole kelas elit WorldSBK, hari ini, pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu sekadar melakukan masa terpantas 1 minit 34.445 saat (s).

Catatan yang dibuat itu begitupun malangnya tidak melepasi had masa minimum kelayakan iaitu 1:33.266s.

Ia disebabkan masa terpantas yang dilakukan pelumba terpantas, Nicolo Bulega ( Aruba.it Ducati) adalah 1:28.824 saat (s).

Mengikut peraturan WSBK, setiap pelumba perlu mencatatkan masa pusingan yang tidak lebih perlahan daripada 105 peratus daripada masa terpantas dalam sesi kelayakan untuk layak berlumba.

Tidak seperti pelumba lain yang beraksi sepenuh masa, pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu hanya memperoleh tempoh singkat untuk menguji jenteranya iaitu pada sesi terakhir ujian pra-musim pada Selasa lalu.

Situasi itu berlaku selepas bekas pelumba Moto2 negara dikatakan berdepan beberapa isu termasuk membabitkan perjalanannya ke Australia yang menyaksikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan jentera Honda CBR1000RR-R versi WSBK menjadi singkat.

Justeru, sukar buat Zaqhwan untuk mengadaptasi dirinya bersama jentera lebih-lebih lagi di Litar Phillip Island yang terkenal dengan selekoh laju dan cabaran teknikal.

Kepada yang tidak tahu, kebanyakan pelumba sepenuh masa di WorldSBK termasuk rakan sepasukan Zaqhwan, Tarran Mackenzie memperoleh tiga sesi ujian pra-musim di WorldSBK termasuk dua di Eropah.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang turut beraksi bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda dalam kelas WorldSSP, Syarifuddin Azman menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-17.