TIADA Keluhan Jadi Naib Juara - Marco Bezecchi

Jaguh Aprilia, Marco Bezzecchi menyifatkan tempat kedua Perlumbaan Sprint di Sachsenring, Jerman sudah cukup baik selepas dia dikecewakan 'pakar' di litar berkenaan, Marc Marquez di pusingan terakhir

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/13/20251 min read

Marco Bezzecchi
Marco Bezzecchi

PELUMBA Aprilia, Marco Bezzecchi di ambang untuk menjuarai Perlumbaan Sprint pertamanya di Sachsenring, Jerman semalam sebelum dikecewakan 'pakar' di litar berkenaan, Marc Marquez di pusingan terakhir.

Bezzecchi yang menjulang kemenangan pertama bersama Aprilia di Silverstone dan meraih podium berganda di Assen, Belanda tampil dengan persembahan baik dan mempimpin hampir keseluruhan perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar basah itu.

Begitupun, ia tetap tidak mencukupi untuk menghalang pelumba Ducati Lenovo, Marquez untuk menambah kemenangan ke-10 Perlumbaan Sprint musim ini dan bagi Bezzecchi, dia berpuas hati dengan apa yang diperolehnya.

"Ia hari yang amat baik," kata Bezzecchi kepada MotoGP.com. "Pertama kali di barisan depan bersama Aprilia, dan kemudian Sprint ini. Bersaing dengan Marc pada akhirnya juga bagus, sekali pun ia sedikit malang, saya dikalahkan.

"Tetapi tiada apa yang perlu saya keluhkan. Sudah tentu, satu pusingan lebih awal saya lebih gembira.

"Tetapi kami memperoleh prestasi yang bagus, dan sejujur-jujurnya, saya tidak menjangkakan untuk mendapatkan rentak kelajuan yang baik dan keadaan yang sulit seperti ini.

"Marc juga malangnya bagi saya, lebih pantas sedikit, terutama di sektor ketiga. Dia mempunyai banyak cengkaman," kata Bezzecchi.

Bezzecchi ketika ini menghuni tangga ke-6 dalam carta kedudukan pelumba MotoGP dan hanya ketinggalan sembilan mata di belakang pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli yang memerlukan ujian di hospital susulan kecederaan teruk yang dihadapinya ketika Perlumbaan Sprint.