TIADA Lagi 'Gadis Payung' Di MotoGP Selepas Diambil Alih Liberty Media?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/4/20241 min read

FORMULA 1 (F1) menamatkan khidmat 'gadis payung' selepas diambil alih Liberty Media dan timbul persoalan mengenai perkembangan berkenaan selepas MotoGP kini turut dimiliki entiti sama.

Liberty Media mengambil alih 86 peratus pegangan ekuiti pengelola MotoGP, Dorna Sports yang menyaksikan perlumbaan paling elit dua dan empat roda dunia kini berada di bawah satu bumbung.

Pengambilalihan itu begitupun menimbulkan banyak persoalan dan antara yang menarik adalah penggunaan gadis di grid perlumbaan.

Tetapi ketika ditanya mengenainya, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta yang mengekalkan tugasnya di MotoGP berkata tiada perancangan untuk perubahan drastik itu dibuat.

"Saya fikir ia adalah perkara membabitkan kebebasan," kata Ezpeleta kepada GPOne. "Kami tidak boleh memberitahi semua orang yang mereka tidak boleh berada di sana.

"Mengharamkan gadis payung saya fikir akan menjadi satu tindakan diskriminasi terhadap wanita, bukan memihak mereka."

F1 menamatkan penggunaan gadis payung pada 2018 dengan menyifatkan ia tidak selari dengan nilai syarikat itu selain dikatakan bertentangan dengan norma masyarakat moden.

Begitupun perubahan itu mencipta kontroversi termasuk 'penentangan' daripada bekas gadis payung yang bersuara mengenai perkara berkenaan.