TIADA Masalah, '1' Hanya Nombor - Gigi Dall'Igna

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/21/20251 min read

BOS Ducati Corse, Gigi Dall’Igna mengakui dia tidak berdepan masalah apabila Jorge Martin membuat keputusan menggunakan nombor satu terhadap jentera Aprilia pada kempen MotoGP musim ini.

Menurut Dall’Igna, nombor yang membawa maksud sebagai penyandang juara itu hanyalah sekadar nombor.

Selepas berteka-teki, Martin akhirnya memutuskan untuk menggunakan nombor satu pada penampilan sulungnya bersama Aprilia musim ini selepas menjulang gelaran berkenaan bersama pasukan satelit Ducati, Pramac Racing tahun llau.

"Bukan masalah untuk mempunyai nombor satu pada jentera atau tidak," kata Dall’Igna ketika ditanya mengenai situasi itu ketika pelancaran pasukan Ducati Lenovo 2025, baru-baru ini.

"Masalahnya adalah untuk menjuarai kejuaraan dan kami melakukan perkara ini pada tahun lalu. Ini adalah perkara palimng penting.

"Jadi nombor satu pada kes ini hanya nombor dan sudah tentu saya mahukannya pada jentera kami. Tetapi keutamaan adalah untuk menjuarai kejuaraan."

Ducati Lenovo pada musim ini menampilkan barisan pelumba terkuat di grid MotoGP menerusi kehadiran juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez dan juara dua kali, Francesco Bagnaia.

Ducati mendominasi kempen MotoGP pada musim 2024 dengan menjuarai 19 daripada 20 perlumbaan utama yang ditawarkan dan turut menjuarai gelaran dunia dalam kategori pengeluar.