TIADA Mata, Tapi Dapat Kumpul Data - KIP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/23/20241 min read

KHAIRUL Idham Pawi sekali lagi menempuh minggu mengecewakan pada penampilannya di pentas WorldSSP Pusingan 9 WSBK 2024 di Cremona, Itali selepas pulang dengan 'tangan kosong' dari sudut pungutan mata.

Tiba di Cremona dengan semangat tinggi berikutan pernah menjalani ujian di litar berkenaan, segalanya tampak tidak menjadi buat pelumba kelahiran Perak itu selepas menamatkan sesi kelayakan di kedudukan 30 terpantas.

Memulakan perlumbaan di petak ke-30 sememangnya memberi kesukaran dan buat pelumba dengan julukan KIP itu, Perlumbaan 1 ditamatkan dengan nota kecewa selepas dia gagal menamatkan perlumbaan.

Manakala pada Perlumbaan, bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara itu melepasi garisan penamat di tempat ke-26.

"Malangnya ia bukan minggu yang mudah untuk kami di sini di Itali," kata KIP. "Kami berharap untuk memperoleh keputusan lebih baik, memandangnya ia adalah litar yang pernah kami menjalani ujian.

"Tetapi sebaliknya, kami berdepan beberapa masalah.

"Sekurang-kurangnya, Perlumbaan 2 berjalan lebih baik berbanding Perlumbaan 1 dan saya melakukan sebaik mungkin untuk cuba berada dengan kelompok depan, tetapi ia sukar.

"Apapun, saya mampu untuk menamatkan perlumbaan dan mengumpul beberapa data. Harapnya kami boleh melakukan lebih baik pada minggu depan di Aragon."

Selepas 9 pusingan berlangsung, KIP ketika ini menghuni tangga ke-37 dalam carta kejuaraan WorldSSP selepas sekadar mengutip dua mata kejuaraan.

Pusingan seterusnya berlangsung di Aragon, Sepanyol hujung minggu ini.