TIADA Nasihat Untuk Martin - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/27/20241 min read

JUARA dunia lapan kali, Marc Marquez menegaskan dia tidak mempunyai sebarang nasihat kepada rakan senegaranya dari Sepanyol, Jorge Martin yang sedang memimpin pemburuan kejuaraan dunia musim ini.

Menjelang GP Indonesia 2024 di Mandalika minggu ini, pelumba Gresini Ducati itu ditanya mengenai perkara berkenaan oleh media Sepanyol.

Dan jawapan yang diberikan oleh Marquez seperti boleh dijangka.

"Saya tidak akan memberikannya sebarang nasihat," kata Marquez. "Menurut kamu, saya masih lagi berpeluang untuk memberikan cabaran (kejuaraan dunia).

"Saya tidak akan memberikan sebarang nasihat kepada pencabar-pencabar yang berada di litar atau pencabar saya pada masa depan.

"Saya tidak berfikir mengenai memenangi gelaran dunia pada tahun ini, tetapi Martin adalah pencabar semasa saya dan akan menjadi pencabar di masa depan.

"Jadi mengapa saya harus memberikan nasihat kepada pencabar saya? Saya memberikannya kepada adik saya dan itu saja."

Martin daripada pasukan Pramac Ducati ketika ini memimpin carta kedudukan pelumba selepas mengumpul keseluruhan 341 mata namun dicabar sengit Francesco Bagnaia yang ketinggalan 24 mata.

Termasuk GP Indonesia, kempen MotoGP musim ini hanya berbaki enam pusingan termasuk di GP Malaysia yang dijadual pada 1 hingga 3 November ini.

Sebagai rekod, Marquez tidak pernah menamatkan perlumbaan di Mandalika sepanjang kariernya sejak litar itu menjadi venue kepada MotoGP sejak 2022.

Justeru, sasaran yang diletakkan pada kali ini agak rendah iaitu di kedudukan lima terbaik.

"Ia (Mandalika) adalah litar yang saya suka. Tetapi ia bukan salah satu kegemaran saya, tetapi ia adalah litar yang saya suka dalam tahap normal, bukan terlalu bagus. Saya tidak sabar untuk memahaminya dengan Ducati," kata Marquez.