TIADA Pelumba AS Untuk Pasukan AS Di MotoGP 2025 - Bos Aprilia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/13/20241 min read

APRILIA menolak kemungkinan yang pasukan satelitnya, Trackhouse - pasukan yang dimiliki firma Amerika Syarikat (AS) akan menyenaraikan pelumba dari negara Uncle Sam itu dalam kempen MotoGP musim depan.

Trackhouse Aprilia pada musim ini menyenaraikan dua pelumba, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez namun dicanang akan menyenaraikan pelumba dari AS musim depan menerusi pelumba muda, Joe Robert.

Robert tampil dengan prestasi baik pada musim ini dalam kempen Moto2 apabila merangkul kemenangan pertamanya di Grand Prix Itali 2024 dan hanya dibezakan tujuh mata daripada pendahulu, Sergio Garcia.

Sebagai info, Trackhouse adalah pasukan yang menggantikan slot yang dikosongkan oleh pasukan milik Datuk Razlan Razali, RNF Racing pada penghujung musim lalu.

Tetapi ketika ditanya kemungkinan Trackhouse akan menyenaraikan pelumba 'Rookie' musim depan di MotoGP, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola menafikan prospek itu.

"Saya tidak fikir ia akan berlaku, ini kerana pasaran pelumba ketika ini boleh memberikan kami pilihan pelumba (MotoGP sedia ada) yang cukup bagus," kata Rivola ketika ujian MotoGP di Mugello sejurus GP Itali berakhir memetik laporan Crash.net.

Kata-kata Rivola tampak senada dengan pendirian Prinsipal pasukan Trackhouse, Davide Brivio yang menyatakan keutamaan pasukan itu adalah menyenaraikan pelumba terbaik, dan bukannya sebagai pasukan 'junior' kepada Aprilia.

"Saya fikir ketika temuramah Davide berkata bukan tanggungjawab Trackhouse untuk mendapatkan pelumba junior untuk meningkat dan menjadi pelumba utama Aprilia Racing. Dan saya bersetuju," kata Rivola.

"Saya fikir kami patut menerjah pasaran, yang ketika ini berjalan dengan pantas, dan kami menunjukkannya dengan pantas (menandatangani Jorge Martin) dan memilih pelumba terbaik untuk keempat-empat jentera kami."

Ketika ini, beberapa pelumba sedia ada di MotoGP, termasuk yang pernah memenangi perlumbaan malah bekas juara dunia - Joan Mir - belum mengesahkan tempat mereka di grid musim depan.

Aprilia setakat ini baru mengesahkan seorang pelumba untuk memacu cabaran pasukan itu musim depan, dengan pemenang GP Amerika Syarikat, Maverick Vinales, Fernadez dan Oliveira masih berteka-teki.