TIADA Pelumba, Pasukan 'Wildcard' Di GP Malaysia 2023?

TULAR

9/13/20231 min read

SATU perkembangan agak kurang enak buat arena sukan permotoran negara diperoleh iaitu potensi Malaysia tidak menyenaraikan pelumba atau pasukan dengan status 'Wildcard' di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, November depan.

Ketika majlis pelancaran GP Malaysia 2023, hari ini, bos Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif memaklumkan pihaknya belum mendapat sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan setakat ini.

Sebagai rekod, kali terakhir GP Malaysia tidak menyenaraikan pelumba menerusi tiket 'wildcard' adalah pada GP Malaysia 2018.

Begitupun, Malaysia ketika itu dibarisi tiga pelumba negara yang beraksi sepenuh musim dalam ketiga-tiga kelas termasuk MotoGP (Hafizh Syahrin Abdullah), Khairul Idham Pawi (Moto2) dan Adam Norrodin (Moto3).

Untuk GP Malaysia 2023, 'hero' tempatan yang dijadual beraksi adalah Syarifuddin Azman atau Damok yang beraksi secara sepenuh musim dalam kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSi.

Menjelaskan bahawa tiada pelumba tempatan ketika ini layak secara 'merit' untuk mendapat tiket 'Wildcard', Shafriman berkata pihaknya termasuk penaja masih menilai pencapaian beberapa pelumba.

Dan dia masih belum menutup terus peluang untuk pelumba negara beraksi menerusi tiket berkenaan jika ada pihak sanggup mengeluarkan belanja sebagai penaja.

Selain itu, tempoh pendaftaran untuk slot 'wildcard' iaitu 45 hari sebelum perlumbaan berlangsung turut memungkinan kemungkinan untuk melihat pelumba negara beraksi secara wildcard masih belum tertutup.

Ketika ini, antara pelumba yang berpotensi meraih tiket 'Wildcard' GP Malaysia adalah Danial Syahmi yang beraksi dengan tiket berkenaan di GP India 2023.

Begitupun seorang lagi pelumba negara, Hakim Danish Ramli masih belum mencapai usia untuk layak beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia selain barisan pelumba negara yang beraksi dalam kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Tahun lalu, selain Damok yang beraksi secara 'wildcard' dalam kelas Moto3, turut beraksi di GP Malaysia 2022 adalah Kasma Daniel Kasmayuddin dan Azroy Hakeem Anuar menerusi tiket 'Wildcard' Moto2 bersama pasukan Petronas Mie Racing.

Sebagai rekod, selain Damok, turut menampilkan aksi di GP Malaysia 2023 dalam acara 'selingan' adalah empat pelumba negara, Farres Putra, Farish Hafiy, Ahmad Darwisy dan Adi Putra dalam perlumbaan Idemitsu Asian Talent Cup.