TIADA Penamat Menakjubkan Diraih Hakim Danish, Danial Syahmi Perlumbaan Tutup Tirai RBRC 2023

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/10/20231 min read

TIBA di San Marino bagi mengharungi pusingan terakhir kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) 2023 dengan semangat berkobar-kobar jelas tidak mencukupi buat dua pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril.

Pada Perlumbaan 2 yang juga perlumbaan terakhir kejuaraan itu musim ini, Hakim Danish berjaya mengutip dua mata tambahan selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14.

Begitupun, situasi yang berlaku pada Perlumbaan 1, semalam terjadi lagi kepada Danial Syahmi yang menutup kempen dengan kedudukan ke-16 sekaligus tak berjaya menambah mata kejuaraan keseluruhan.

Keputusan menyaksikan pelumba muda berbakat kelahiran Terengganu, Hakim Danish menamatkan kempen 'debutnya' dalam RBRC di tangga ke-12 keseluruhan selepas mengumpul 70 mata.

Dan keputusan terbaik dilakar pelumba berusia 16 tahun itu adalah di Perlumbaan 2 pembuka tirai di Portugal.

Sementara itu, Danial Syahmi menamatkan kempen di tangga ke-16 keseluruhan selepas mengumpul keseluruhan 40 mata.

Sementara itu, pelumba Sepanyol, Angel Piqueras terus membuktikan statusnya dengan memenangi perlumbaan terakhir diikuti dua rakan senegaranya Maximo Quiles dan Alvaro Carpe.

Memang tidak lagi mampu dipintas sebagai juara keseluruhan RBRC 2023, Piqueras melakukannya dengan bergaya selepas mengumpul keseluruhan 318 mata, kelebiha 115 mata di depan pemenang tempat kedua keseluruhan, Carpe.