TIADA Pilihan Lain, Joan Mir 'Sangkut' Di Honda?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/19/20241 min read
JOAN Mir sebelum ini pernah dilaporkan ingin meninggalkan Repsol Honda namun situasi itu dikatakan sudah berubah.
Juara dunia MotoGP 2020 bersama Suzuki itu menyertai Honda pada 2022 namun mengharungi kempen mendukacitakan setakat ini dengan keputusan terbaiknya musim ini adalah di tangga ke-12.
Sekalipun dikatakan bersedia untuk angkat kaki daripada pengeluar Jepun itu, menurut laporan Motorsport, pelumba kelahiran Sepanyol itu bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu selama dua tahun untuk kekal di Repsol Honda.
Dan ia dikatakan berikutan pasukan dalam senarai 'buruannya' sudah pun melengkapkan pelumba.
Setakat ini, pasukan berstatus 'kilang' yang sudah melengkapkan senarai pasukan adalah Ducati (Ducati Lenovo), KTM (Red Bull KTM) dengan Aprilia, Honda dan Yamaha masih mempunyai satu lagi kekosongan.
"Saya akan menunggu sehingga saya menerima semua tawaran dan kemudian saya akan membuat pilihan," kata Mir ketika di Mugello sebelum ini.
"Tiada siapa keluar daripada Honda dengan keadaan lebih baik berbanding ketika mereka tiba.
"Apabila saya tiba di Honda, saya memperoleh banyak tawaran... Dan kini ia tidak seperti itu.
"Saya perlu menunggu orang lain yang mempunyai keutamaan ketika ini. Ini adalah realitinya. Tidak kisah apa yang pernah kamu lakukan sebelum ini.
"Ketika ini pelumba lain memperoleh keputusan yang baik, mungkin 4 atau 5 pelumba, yang mempunyai keutamaan," katanya.
Setakat ini, enam pelumba yang menghuni carta teratas kedudukan pelumba sudah pun memiliki kontrak melebihi musim ini dengan prosesnya dipercepat selepas pengumuman Marc Marquez ke Ducati Lenovo.