TIADA Podium Tapi Hakim Danish Positif Aksi RBMRC Di Mugello, Qabil Irfan Terus Belajar!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/3/20241 min read

TIADA podium pada aksi Pusingan 3 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 diraih Hakim Danish Ramli di Mugello, Itali tetapi ia masih dianggap keputusan positif oleh pelumba kelahiran Terengganu itu.

Pada Perlumbaan 1 pada Sabtu, pelumba berusia 17 tahun itu menamatkan aksi di kedudukan ke-7 sebelum keputusan itu diperbaiki pada Perlumbaan 2 selepas melepasi garisan penamat di tangga ke-6.

Kepada yang tak tahu, Hakim Danish pada dua pusingan sebelum ini - Jerez dan Le Mans - konsisten meraih kedudukan podium.

"Dalam perlumbaan, saya merasa yakin dengan jentera dan juga diri saya. Saya bersaing bersama dengan kelompok hadapan dan memperbaikinya dari sudut pelarasan jentera berbanding semalam (Perlumbaan 1)," kata Hakim Danish.

"Pada pusingan terakhir, saya sedikit terkebelakang di mana tiga pelumba memintas saya di sektor kedua. Saya cuba untuk mengejar balik dan pada selekoh terakhir, saya hampir terlanggar pelumba lain semasa mencuba mendapatkan 'slipstream'.

"Syukur saya selamat dan saya tamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6. Keseluruhannya, minggu ini saya berasa baik. Saya memperbaiki setiap sesi dan setiap perlumbaan saya," katanya.

Sementara itu, prestasi seorang lagi pelumba muda negara yang turut beraksi di Eropah, Qabil Irfan Ramli boleh dikatakan bertambah baik pada penampilan keduanya di Moto4 di ESBK.

Beraksi bersama pasukan VHC Frando Racing Team, Qabil Irfan hampir meletakkan dirinya di kedudukan podium pada Perlumbaan 1 pada Sabtu (ke-4) sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-7.

"Semasa perlumbaan, saya berada di kelompok hadapan tetapi ada pelumba yang tidak laju mengganggu kelompok saya menyebabkan saya terpaksa berada di kelompok ketiga.

"Ramai pelumba di kelompok ketiga, saya cuba untuk memotong dan saya tamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh," kata Qabil yang berterima kasih kepada pasukan serta penaja yang membantunya.

Sebagai info, Pusingan 4 RBMRC 2024 dijadual berlangsung di Assen, Belanda pada 29 hingga 30 Jun ini manakala Pusingan 3 Moto4 ESBK 2024 dijadual pada 4 hingga 7 Julai di Estoril, Portugal.