TIADA 'Pukat' Acara RXZ Members 7.0 - Polis Terengganu
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin menjelaskan pihak berkuasa tidak memilih pendekatan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penganjuran program yang dijangka disertai lebih 100,000 peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara
TULAR
8/17/20251 min read


POLIS Terengganu menugaskan sejumlah 665 pegawai dan anggota sepanjang penganjuran program RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus, selama dua hari pada minggu depan.
Tetapi turut menarik, Polis Terengganu turut memberi jaminan tiada 'pukat' akan berlaku kepada peserta yang menyertai perhimpunan itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin menjelaskan pihak berkuasa tidak memilih pendekatan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penganjuran program yang dijangka disertai lebih 100,000 peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara.
Begitupun, pihaknya akan terus menjalankan tugas penguat kuasa undang-undang, kawalan ketenteraman awam dan kelancaran trafik menerusi rondaan anggota polis bertugas.
Selain itu, beliau turut menasihat dan mengingatkan motosikal yang menyertai program ini tidak diubahsuai dan mematuhi undang-undang jalan raya serta tidak membuat bising di tempat awam atau di kawasan taman yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Malah menurutnya, tindakan tegas akan diambil, termasuk menyita motosikal yang menyalahi undang-undang dan peraturan jalan raya.
Justeru menurut Khairi, semua penunggang hendaklah sentiasa memastikan lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan tidak tamat tempoh, memetik laporan media arus perdana negara.
Pada tahun lalu, Polis Terengganu mengeluarkan 89 saman membabitkan pelbagai kesalahan dan menyita sebanyak 15 unit motosikal RXZ dan Yamaha Y15 kerana melakukan pengubahsuai yang tidak mematuhi undang-undang.
Selain itu, Khairi turut mengingatkan peserta supaya memastikan motosikal berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti kerosakan dan kemalangan sepanjang perjalanan.
Pada edisi tahun lalu, sembilan kemalangan direkodkan membabitkan peserta iaitu tiga kemalangan maut masing-masing satu kes di daerah Marang, Dungun dan Kemaman.
