TIADA Sekatan Untuk Pembelian ZXMoto 820RR Di Malaysia!
Keputusan itu berbeza dengan polisi ketat yang dilaksanakan di China, di mana pengasas ZXMOTO, Zhang Xue mengambil pendekatan luar biasa dengan mengharamkan jualan ZXMoto 820RR kepada individu yang memiliki lesen menunggang kurang daripada tempoh setahun
TERKINI
9/16/20261 min read


PEMINAT dua roda tempatan boleh menarik nafas lega apabila pengeluar motosikal yang sedang 'tular' dari China, ZXMOTO, mengesahkan tiada sebarang sekatan pembelian akan dikenakan ke atas model 'Supersport' berprestasi ZXMOTO 820RR untuk pasaran Malaysia.
Keputusan itu berbeza dengan polisi ketat yang dilaksanakan di negara asalnya, di mana pengasas ZXMOTO, Zhang Xue mengambil pendekatan luar biasa dengan mengharamkan jualan motosikal siri 820 itu kepada individu yang memiliki lesen menunggang kurang daripada tempoh setahun.
Menyedari risiko besar yang menanti penunggang muda atau mereka yang kekurangan pengalaman, Zhang Xue sebelum ini menegaskan kuasa yang dihamburkan model berkenaan boleh membawa padah akibat keterujaan yang gagal dikawal, sekali gus mengundang insiden yang tidak diingini.
Susulan pelancaran rasmi model itu di Malaysia pada Ahad lalu, timbul tanda tanya dalam kalangan peminat automotif tempatan sama ada syarat pemilikan ketat yang sama akan turut dikuatkuasakan di rantau ini.
Tampil menjawab persoalan berkenaan, Zhang Xue menjelaskan bahawa wujud perbezaan ketara antara sistem pelesenan jalan raya di China berbanding Malaysia yang membuatkan sekatan tersebut tidak perlu dilaksanakan di sini.
"Di China, kami tidak mempunyai polisi klasifikasi (kelas) lesen memandu motosikal. Atas sebab itulah kami terpaksa membuat keputusan untuk mengenakan sekatan jualan terhadap penunggang baharu demi keselamatan mereka.
"Bagaimanapun di Malaysia, saya dapati negara anda sudah mempunyai polisi klasifikasi lesen memandu yang tersusun (seperti B2 dan B). Jadi, kami merasakan sistem ini sudah mencukupi dan tidak perlu lagi mengenakan syarat larangan pembelian," katanya.
Walaupun pembeli di Malaysia bebas untuk memiliki ZXMOTO 820RR tanpa syarat tempoh pengalaman, Zhang Xue tetap memberikan pesanan supaya pengguna, khususnya golongan muda, kekal berdisiplin ketika berada di jalan raya.
"Kami sentiasa menasihati penunggang terutamanya penunggang muda supaya menunggang dengan berhati-hati dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri," katanya.
Sebagai rekod, ketegasan ZXMOTO terhadap keselamatan pelanggannya di China disifatkan sangat unik dan radikal. Syarikat itu sanggup menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak 5,000 yuan (kira-kira RM 3,010) kepada mana-mana individu yang membuat laporan dan disahkan sahih, jika terdapat pembeli yang melanggar syarat pengalaman menunggang kurang setahun itu.

