TIADA Siapa Yang Sempurna - Marc Marquez

Kesilapan Marc Marquez di selekoh 15 itu menyaksikan deretan lapan kemenangan berturut-turutnya dalam Perlumbaan Sprint berakhir selain DNF (Tidak menghabiskan perlumbaan) pertamanya selepas di COTA pada musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/13/20251 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez mengakui dia 'terlalu memaksa' ketika berdepan kemalangan tatkala sedang memimpin Perlumbaan Sprint di Grand Prix San Marino.

Selepas memperoleh permulaan baik yang menyaksikannya mendaki ke kedudukan kedua selepas memulakan perlumbaan di petak ke-4, Marquez yang berjaya memintas Marco Bezzecchi pada pusingan ke-6 terjatuh beberapa selekoh kemudian.

Kesilapan di selekoh 15 itu menyaksikan deretan lapan kemenangan berturut-turut dalam Perlumbaan Sprint berakhir selain DNF (Tidak menghabiskan perlumbaan) pertamanya selepas di COTA.

Juara dunia lapan kali itu menjelaskan, kemalangan yang dihadapinya di Misano adalah tipikal.

"Saya terlalu memaksa, saya pergi agak lebar pada selekoh ke-15, dan kemalangan yang tipikal di Misano," kata Marc memetik laporan Crash. "Tiada siapa sempurna.

"Pada akhirnya, saya mengambil banyak risiko ketika Sprint pada musim ini dan ia berjaya setiap kali saya melakukannya. Sejak Australia pada tahun lalu saya tidak melakukan sebarang kesilapan ketika Sprint.

"Ia boleh berlaku, dan hari ini (semalam) adalah harinya. Saya melakukan perkara yang paling sukar iaitu memimpin perlumbaan, tetapi mungkin saya tidak begitu memerhatikan suhu tayar (masih terlalu panas) kerana hanya beberapa selekoh sebelum ini saya memintas Bezzecchi.

"Ia adalah sebahagian daripada perlumbaan. Bagi saya apa yang paling penting, saya sentiasa mengekalkan ayat yang sama, betul tidak bagus apabila kemalangan, tetapi jika kamu kemalangan ketika memimpin perlumbaan jadi kamu mempunyai kelajuan."

Pelumba kelahiran Sepanyol itu menjelaskan yang fokusnya masih terarah untuk menjulang gelaran dunia MotoGP.

Dengan status DNF, Marc ketika ini memiliki kelebihan 173 mata di puncak carta kejuaraan dengan adiknya yang menghuni tangga kedua menamatkan perlumbaan di Misano sebagai naib juara.

"Masih (173) mata. Orang sentiasa bercakap mengenai 'bila kamu menutup kejuaraan?' Saya akan cuba menamatkannya secepat mungkin, tetapi paling utama adalah memenanginya."