TIADA Siapapun Di Tahap Marc Marquez Sekarang - Fabio Quartararo

Juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo kekal sebagai antara berprofil tinggi di grid kejuaraan itu di sebalik kejatuhan prestasi Yamaha dan sudah merangkul empat petak utama dan dua podium musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/30/20251 min read

Fabio Quartararo
Fabio Quartararo

PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo mengakui juara dunia lapan kali, Marc Marquez berada di kelas tersendiri.

Malah, juara dunia MotoGP 2021 itu menggambarkan pelumba Ducati Lenovo itu bagaikan pemain dalam permainan video FIFA yang berada di tahap tertinggi ketika sedang beraksi.

"Apabila saya bercakap mengenainya saya tidak mahu ia nampak terlalu baik atau nampak buruk. Saya fikir tiada sesiapapun berada pada tahap Marquez sekarang. Dan saya bukan hanya merujuk kepada situasi sekarang tetapi sejak 10 tahun lalu," kata Quartararo memetik laporan AS.

"Dalam semua keadaan, ketika litar basah, kering, dengan sebelah tangan yang cedera teruk... dia tetap laju dalam semua situasi dan ia adalah contoh, sebab ada perkara yang sukar bagi saya, seperti bila ada tompokan lembap.

"Saya tidak begitu selesa sepertinya dan dia bagus dalam semua situasi. Ia seperti FIFA (permainan video) seolah-olah semua pemainnya bertaraf 99."

Turut merasakan yang Marque hampir mustahil untuk dikalahkan dalam situasi yang 'aneh' ketika perlumbaan, Quartararo begitupun percaya dengan jentera yang setaraf, dia mampu memberikan ancaman kepada pelumba itu.

Pada kempen rookie bersama PETRONAS SRT Yamaha pada 2019, Quartararo bersaing sengit dengan Marquez dalam beberapa perlumbaan termasuk pertarungan di pusingan terakhir yang sengit seperti di Misano dan Buriram.

"Dalam situasi yang sulit, dia hampir tidak boleh dikalahkan, tetapi ketika keadaan kering kami boleh memberinya beberapa masalah," kata Quartararo. "Pada kelajuan tulen, saya berpotensi untuk menjadi sangat laju."

Selepas 12 pusingan, Marquez ketika ini memiliki kelebihan besar 120 mata di puncak carta kejuaraan di depan pencabar terdekatnya selepas memenangi lapan perlumbaan Grand Prix dan 11 Perlumbaan Sprint