TIADA Tekanan, Fokus Beri Yang Terbaik - Hafizh Syahrin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/24/20252 min read


HAFIZH Syahrin Abdullah mengakui 'keserasiannya' dengan jentera Ducati Panigale V4R sudah meningkat dan tiba di pusingan pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Litar Buriram, Thailand, hujung minggu ini dengan motivasi cukup tinggi.
Bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK itu kembali mewarnai kejuaraan di pentas Asia itu tahun lalu selepas beberapa tahun berkelana ke pentas global untuk bersaing dalam kelas elit ASB1000 bersama pasukan JDT Racing Team.
Tiba di grid ARRC dengan status yang tinggi, Hafizh yang berdepan cabaran terutama untuk mengadaptasi dengan jentera baharu berjaya membuktikan kemampuannya apabila memenangi satu perlumbaan di China sebelum menamatkan musim di kedudukan ketiga keseluruhan.
Hafizh berkata, apa yang dilaluinya pada musim lalu adalah proses pembelajaran untuknya dan keseluruhan pasukan.
"Saya berlumba dengan jentera baharu yang belum pernah saya gunakan sebelum ini, terutama dengan jentera V4 dalam spesifikasi ‘stock’ dan Ducati Panigale V4R," kata pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu. Jadi ia satu pengalaman yang sangat berbeza."
Hafizh yang menjadi pelumba Asia Tenggara pertama beraksi di MotoGP bersama pasukan Tech3 Yamaha pada 2018 diikuti pasukan Tech3 KTM pada 2019 menjadi pelumba tunggal berlumba menggunakan jentera Ducati Panigale V4R dalam saingan ARRC.
Mengulas lanjut, Hafizh berkata dia pasukannya kini lebih memahami jentera berkenaan dari segi elektronik, suspensi dan tetapan keseluruhan.
Pada sesi ujian rasmi semalam, pelumba berusia 30 tahun itu mencatatkan masa terpantas pada sesi pertama ujian, diikuti ketiga terpantas di sesi kedua dan ke-5 terpantas pada sesi ketiga.
"Kami cuba pelbagai tetapan untuk memahami arah yang ingin dituju menjelang sesi latihan bebas pertama esok,” katanya.
“Walaupun ada sedikit masalah trafik di sektor tiga ketika mencuba tayar supersoft, saya sudah dapat rasa potensi sebenar jentera ini. Fokus utama kami adalah untuk mendapatkan kelajuan konsisten dalam pelbagai situasi, terutama dengan suhu litar yang boleh mencecah sehingga 65 darjah selsius pada waktu tengah hari."
Hafizh berkata cabarannya pada tahun ini datang daripada pasukan yang lebih berpengalaman di Buriram terutama Honda.
Begitupun, fokusnya adalah untuk memberikan yang terbaik terutama ketika perlumbaan.
“Ini tahun kedua kami dengan jentera ini. Jadi kami masih menyesuaikan diri dan memang tidak mudah untuk bersaing dengan pasukan seperti Honda yang kerap melakukan ujian persendirian di sini.
"Tetapi kami tidak berasa tertekan kerana kami tahu keupayaan sebenar kami akan muncul apabila semuanya sudah bersedia,” katanya.
