TIADA Tekanan Ganding Dengan Marc Marquez, Kata Pedro Acosta
Selepas menghabiskan keseluruhan karier kejuaraan dunianya bersama KTM, termasuk meraih kemenangan Perlumbaan Sprint sulung pada aksi pembukaan di Buriram tahun ini dan merekodkan 13 podium Grand Prix, Pedro Acosta menyifatkan perpindahan itu sebagai satu lembaran baharu buat dirinya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/19/20261 min read


PELUMBA KTM yang bakal serta Ducati, Pedro Acosta menjelaskan dia tidak merasai sebarang tekanan menjelang perpindahannya ke pasukan kilang Ducati dan bergandingan dengan juara dunia 9 kali, Marc Marquez pada kempen MotoGP 2027.
Pelumba muda Sepanyol itu bakal melakar sejarah menyertai pasukan utama Ducati secara terus tanpa perlu berlumba untuk skuad satelit sejak Jorge Lorenzo pada 2017.
Selepas menghabiskan keseluruhan karier kejuaraan dunianya bersama KTM, termasuk meraih kemenangan Perlumbaan Sprint sulung pada aksi pembukaan di Buriram tahun ini dan merekodkan 13 podium Grand Prix, Acosta menyifatkan perpindahan itu sebagai satu lembaran baharu buat dirinya.
Perbezaan umur 11 tahun dengan Marquez dan ikatan kontrak berbilang tahun bersama Ducati memberi ruang buat Acosta untuk melihat musim 2027 yang juga detik bermulanya era baharu jentera 850 cc dan tayar Pirelli, sebagai peluang untuk mencari rentak perlumbaan.
"Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang bakal saya hadapi di dalam pit nanti, tetapi pada masa sama, saya tidak merasai sebarang tekanan memandangkan Marc kini berada di penghujung kariernya, manakala saya baru sahaja bermula," kata Acosta kepada Motorsport.
Begitupun, Acosta mengakui memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak kerja dan suasana bersama pasukan dari Itali itu memandangkan dia sudah bersama kem KTM selama 6 tahun sejak berusia 16 tahun dan mengenali semua krew di pasukan itu.
"Ia benar-benar babak baharu dalam hidup saya dan bersyukur saya tiada tekanan kerana akan berada di sana (Ducati) sekurang-kurangnya untuk dua musim, yang mana tahun pertama adalah untuk mencari rentak sebelum melihat apa yang akan berlaku pada tahun kedua," katanya.
Ketika ini, Acosta menduduki tangga ke-7 carta kejuaraan dunia dengan mengumpul hampir dua kali ganda mata berbanding pelumba KTM kedua terbaik, Enea Bastianini, manakala Marquez dan Ducati di kedudukan keempat di belakang trio Aprilia iaitu Jorge Martin, Marco Bezzecchi dan Ai Ogura.

