TIADA 'Wildcard', Tapi SIC Sasar Lebih 170,000 Kehadiran Penonton GP Malaysia 2023

TERKINI

9/15/20231 min read

PENGANJURAN Grand Prix (GP) Malaysia 2022 boleh dianggap sebagai satu kejayaan, terutama jumlah kehadiran penonton yang direkodkan selepas ia 'beku' selama dua tahun susulan pandemik Covid-19.

Berdasarkan angka, sejumlah 163,567 kehadiran penonton dicatatkan sepanjang tiga hari penganjuran GP Malaysia 2022.

Ia dianggap cukup baik oleh SIC memandangkan kekangan yang terpaksa diharungi, termasuk promosi dan penjualan tiket agak lewat.

Untuk tahun ini, SIC tamppil dengan persiapan lebih baik termasuk siri promosi yang lebih mantap.

Justeru, menurut bos SIC, Azhan Shafriman Hanif, pihaknya meletakkan sasaran sama seperti edisi 2019 iaitu 170,000 kehadiran penonton untuk edisi kali ini.

Setakat ini, pihak SIC menyatakan jumlah jualan tiket sudah mencapai tahap 70 peratus dengan beberapa 'tribune' antara khas buat peminat Marc Marquez sudah pun habis dijual.

Dan untuk meningkatkan lagi tarikan tahun ini, SIC dengan kerjasama KBS (Kementerian Belia & Sukan) turut memperkenalkan 'Tiket Rahmah' yang dijual pada harga RM 49.90.

Sejumlah 7,000 tiket diperuntukkan untuk 'Tiket Rahmah' yang terletak di K2 Hillstand. Tiket berkenaan sudah mula dijual dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan boleh dibeli secara dalam talian dan kaunter jualan tiket bermula kelmarin.

Sedikit mengecewakan, Malaysia pada tahun ini berkemungkinan tidak menyenaraikan pelumba atau pasukan 'wildcard' namun ada seorang pelumba Malaysia beraksi sepenuh masa iaitu Syarifuddin Azman dalam kempen Moto3.