TIADA WSBK Di Mandalika Tahun Depan, Indonesia Dah Tak Sanggup?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/21/20231 min read
SELEPAS hanya tiga edisi penganjuran, termasuk pada musim ini, Indonesia berkemungkinan tidak lagi menjadi venue perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim 2024.
Sekalipun menandatangani kontrak penganjuran 10 tahun, menurut laporan termasuk dari media tempatan, antara alasan Indonesia tidak lagi sanggup menjadi tuan rumah adalah disebabkan kos tinggi buat penganjur tempatan.
Selain itu, perolehan yang dikaut daripada penganjuran perlumbaan berkenaan juga dikatakan tidak setimpal dan sukar untuk penganjur meraih keuntungan.
Tidak seperti di Eropah, promoter perlumbaan Dorna terpaksa mengenakan yuran yang lebih tinggi untuk penganjur di benua lain dan dikatakan lima kali lebih tinggi susulan kos membabitkan pengangkutan dan sebagainya.
Malah jika kehadiran penonton mencecah 100,000, ia hanya menambah sekitar 2 juta euro (RM 9.98 juta) kerana tiket kemasukan perlumbaan di Lombok itu hanya dijual pada harga sekitar 20 euro (RM 100).
Tanpa Indonesia, Dorna begitupun dikatakan sudah mempunyai pengganti iaitu Hungary.
Tetapi perlumbaan bukan dijadual berlangsung di litar terkemuka negara itu, Hungaroring namun di Balaton Park yang juga litar pesisir pantai.
Tanpa Indonesia, WSBK dijangka terus kehilangan venue-venue di luar Eropah selepas Argentina turut dijangka mengambil keputusan sama.
Di Eropah, Imola juga dikatakan tidak lagi berminat untuk menjadi penganjur tetapi dijangka akan digantikan dengan satu lagi litar di Itali, Vallelunga yang terletak di utara Rom.