'TIBA Di Qatar Selepas Menang Di Texas Cukup Menyenangkan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/10/20251 min read


PECCO Bagnaia tiba di Qatar bagi Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan nada cukup positif berikutan kemenangan yang diperoleh pada Pusingan 3 di Austin, Texas, Amerika Syarikat.
Pelumba Ducati Lenovo itu melakukan kebangkitan di COTA selepas mencatat kemenangan yang turut dibantu kegagalan rakan sepasukannya, Marc Marquez menamatkan perlumbaan susulan terjatuh.
Sekali pun ada yang menyifatkan kemenangan itu dibantu tuah, Bagnaia mengakui dia memperoleh semula perasaannya malah pada ketika itu sudah berjaya memintas adik kepada Marc, Alex Marquez seawal pusingan ke-4.
"Kembali berlumba di litar selepas kemenangan sentiasa perkara yang bagus," kata Bagnaia.
"Epilog final di Austin menakjubkan dan saya juga amat gembira kerana jika dibandingkan dengan GP sebelum ini perasaan saya ketika menunggang menjadi lebih baik.
"Masih banyak yang perlu kami lakukan, ada banyak kerja di depan kami, tetapi litar ini diketahui mampu mengeluarkan karateristik dan potensi Desmosedici GP."
Bagnaia jelas cukup teruja tiba di Qatar kerana ia adalah litar di mana dia bergelar juara pada musim lalu.
Begitupun, Marc juga pernah menjulang kemenangan di Losail tetapi ia berlaku sudah cukup lama iaitu pada musim 2014.
