TIBA Pada Harga RM 23.9k, QJMotor Fort 350 (2024) Katanya Cukup Laris!

6/27/20241 min read

TAK dapat dinafikan antara model yang 'beraksi' dalam segmen skuter maxi yang menjadi tumpuan ketika acara Malaysia Autoshow 2024 bulan lalu adalah QJMotor Fort 350 (2024).

Tampil memeriahkan pasaran yang kian hangat dengan pelbagai model, antara tarikan QJMotor Fort 350 (2024) yang dibawa masuk oleh MForce Bike itu pastinya membabitkan harganya.

Selain dijual pada angka harga yang menarik, RM 23,888 (asas), antara tarikan skuter berkenaan pastinya membabitkan rekaannya yang cukup futuristik selain ciri-ciri yang dipadankan.

Bakal memasuki cawangan pengedar MForce Bike seluruh negara pada minggu kedua bulan depan, menurut laporan rakan media PanduLaju, tempahan untuk skuter berkenaan setakat ini dikatakan sudah mencecah 3k unit.

Secara keseluruhan, MForce Bike dikatakan akan menghasilkan sekitar 5,000 unit QJMotor Fort 350 (2024) untuk pasaran Malaysia.

Dan seperti diketahui lebih awal, pilihan warna yang tersedia adalah dua iaitu Gold dan Matte Black.

Mengulas ringkas trenkuasa, QJMotor Fort 350 (2024) menggunakan enjin bersesaran 350 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 33.8 Hp @ 7,500 rpm dan tork 35.2 Nm @ 6,000 rpm.

Antara ciri-ciri menarik dipadankan kepada skuter ini adalah seperti sistem penghidup menggunakan kad NFC (kunci konvensional tersedia), kamera 'dashcam' (depan/belakang), panel meter TFT berwarna 7 inci yang lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit serta sistem lampu LED penuh.

Selain itu apa yang menarik adalah ia dipadankan dengan brek cakera berkembar (depan) bersaiz 265 mm, ciri yang kebiasaan dipadankan kepada skuter aras tinggi lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Informasi penting lain adalah seperti ketinggian pelana 720 km, jarak lega bumi 150 mm, berat 195 kg dan kapasiti tangki bahan api 14 liter dan set roda 120/70-15 (depan) dan 150/70-14 (belakang).