TIDAK Lagi Di Malaysia, Pramac Yamaha Lancar Jentera, Liveri MotoGP 2026 Di Itali!

Ini adalah tahun kedua Pramac Racing bergelar pasukan satelit Yamaha selepas menamatkan kerjasama jangka panjang bersama Ducati pada 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/11/20251 min read

PASUKAN satelit MotoGP Yamaha, Pramac Yamaha bakal menjadi pasukan pertama memperkenalkan jentera baharu bagi musim MotoGP 2026 apabila mengumumkan tarikh pelancaran rasmi pada 13 Januari depan di Accademia Musicale Della Chigiana, Siena, Itali.

Ini adalah tahun kedua Pramac sebagai pasukan satelit Yamaha selepas menamatkan kerjasama jangka panjang bersama Ducati pada 2024.

Pramac ketika itu mencatat sejarah dengan menjuarai kejuaraan dunia menerusi Jorge Martin yang menunggang jentera Ducati Desmosedici GP.

Dan menariknya, pelancaran pasukan baharu bersama Yamaha berlangsung di ibu negara, Kuala Lumpur yang turut membabitkan pasukan Monster Yamaha dan pasukan Moto2 jenama itu.

Pada musim 2026, Pramac Yamaha mendapatkan khidmat juara tiga kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu untuk bergandingan dengan Jack Miller.

Menariknya, pelancaran Januari ini akan menjadi kali pertama Razgatlioglu muncul secara rasmi dengan warna pasukan Pramac Yamaha.

Pengumuman itu turut menyaksikan Pramac Yamaha menjadi pasukan terawal memperkenalkan liveri 2026, mendahului Ducati (19 Januari) dan Gresini (31 Januari di Kuala Lumpur).

Razgatlioglu sebelum ini membuat penampilan sulung dalam ujian MotoGP di Valencia bulan lalu dan muncul pelumba kedua terbaik Yamaha di belakang Fabio Quartararo.

Seperti diketahui, musim sulung bersama Yamaha pada 2025 tidak berjalan lancar apabila hanya mengumpul 125 mata dan menamatkan saingan di kedudukan tercorot pasukan dengan keputusan terbaik adalah di tempat kelima pada Grand Prix Amerika Syarikat.

Yamaha pula akan menjadi satu-satunya pengeluar dengan konsesi Rank D pada 2026 yang membolehkan Razgatlioglu menjalani lebih banyak sesi ujian sepanjang musim termasuk tambahan hari di Sepang pada hujung Januari ini.