TIGA Ducati GP25 Musim Depan, VR46 Tak Setuju!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/16/20241 min read


SEPERTI dijangka, keputusan Ducati Corse untuk hanya membariskan tiga jentera berstatus 'kilang' dalam kempen MotoGP musim depan mendapat reaksi kurang menyenangkan pasukan satelitnya, VR46.
Ducati pada musim depan sah kehilangan pasukan satelit rasminya, Pramac kepada Yamaha dan posisi itu diuar-uarkan akan diambil alih oleh pasukan MotoGP milik legenda Itali, Valentino Rossi.
Dan tidak seperti Pramac yang disediakan Ducati Corse dua jentera berstatus 'kilang' sejak musim lalu, VR46 tidak akan mendapat layanan sama dan keputusan itu tampak tidak dipersetujui Principalnya, Alessio ‘Uccio’ Salucci.
"Kami mempunyai pasukan yang hebat dan pekerja yang menakjubkan. Kami tidak akan menjadi pasukan 'kilang' kerana kami tidak menghasilkan jentera, tetapi apabila pelumba datang ke sini mereka akan melihat situasi yang menakjubkan," kata Salucci memetik laporan Motorsport.com.
"Malah Gigi Dall'Igna (Bos Ducati Vorse) turut memuji kami daripada sudut pengurusan. Malah mereka turut memilih kami sebagai pasukan rujukan, bermula pada 2025 kerana Pramac meninggalkan mereka.
"Tetapi Ducati juga sudah pun memilih kami untuk musim 2027 sebagai pasukan rujukan, bebas seperti Pramac.
"Untuk GP25, saya tidak bersetuju dengan Dall'Igna kerana kami hanya akan memperoleh satu jentera terbaharu dan saya memang mahukan dua jentera seperti yang dilakukan sebelum ini.
"Tetapi malangnya keputusan berada di tangan Ducati, kami akan memperoleh satu sabaja dan kami akan melakukannya.
"Kami akan cuba untuk menjayakannya dengan cara yang terbaik, sekali pun pengeluar lain sedang merancang dengan empat (jenter rasmi) dan kami hanya mempunyai tiga.
"Tetapi ini juga akan menjadi lebih unik kerana akan ada dua jentera berwarna merah dan satu daripada kami," katanya.
Antara alasan Ducati menyenaraikan tiga jentera 'rasmi' musim depan adalah disebabkan kos.
Setakat ini, KTM dan Yamaha sudah pun mengumumkan mereka akan menyenaraikan empat jentera dengan spesifikasi sama musim depan, tindakan yang mungkin akan diikuti dua lagi pengeluar iaitu Honda dan Aprilia.
