TIGA Juara Berbeza di WSBK Rep Czech 2023, Kawasaki, Yamaha, Ducati Naik Podium Utama!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/31/20232 min read
KEMPEN Pusingan 8 perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 di Republik Czech menobatkan tiga pemenang berbeza yang menyaksikan tiga pengeluar, Kawasaki, Yamaha dan Ducati berjaya menikmati 'kemanisan' kemenangan di Litar Autodrom Most.
Paling mencuri tumpuan adalah kemenangan pertama Kawasaki dan pelumba bintangnya, Jonathan Rea yang merangkul kemenangan dalam Perlumbaan 1 WorldSBK yang juga kemenangan pertama pasukan itu musim ini.
Juara dunia 2021 dari Yamaha, Toprak Razgatlıoglu juga tidak mahu terlepas daripada meraih kemenangan apabila memenangi Perlumbaan Superpole.
Dan kempen di Czech dilengkapkan Alvaro Bautista selepas pelumba Ducati itu memenangi Perlumbaan 2 yang menyaksikan insiden 'pelik' menimpa Toprak ketika pelumba Turki itu sedang memimpin perlumbaan.
Kali terakhir Rea yang juga juara dunia enam kali WSBK adalah di Phillip Island pada 2022 dan pelumba kelahiran Britain itu mengakui jurang masih 'jauh' dengan dua pencabar utamanya, Toprak dan Bautista.
"Ia hadiah yang baik untuk pasukan dan krew atas semua kerja keras mereka. Kemenangan ini memberikan perasaan yang baik tetapi kami masih belum berada di posisi untuk menang dalam keadaan yang normal. Kami perlu realistik," kata Rea.
Selepas memberi peringatan kepada Bautista sejurus memenangi Perlumbaan Superpole yang pemburuan kejuaraan masih belum berakhir, Toprak mengharungi situasi yang dianggap pelik pada Perlumbaan 2 apabila tayar belakangnya rosak yang membuatkannya langsung tidak memungut sebarang mata.
"Saya hanya melakukan yang terbaik tetapi nasib malang untuk saya. Saya tidak marah kepada Pirelli. Saya cuba tidak tahu kenapa tayar saya seperti itu, saya amat terkejut dan ia amat aneh," kata Toprak.
Bautista dalam pada itu mengakui dia tidak menyangkakan kemenangan di Czezh selepas mengharungi permulaan yang kurang memberangsangkan.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan pada minggu ini terutama selepas situasi sukar pada Jumaat dan Sabtu. Saya sentiasa mempercayai diri saya, cuba untuk tenang dan memberikan yang terbaik.
"Perlumbaan Superpole adalah kunci. Saya tahu penting untuk mendapatkan perlumbaan yang baikj dan memperbaiki kedudukan saya," kata Bautista.
Sebagai info, kali terakhir tiga pengeluar berbeza meraih kemenangan dalam satu pusingan adalah pada musim 2021 di Portimao, Portugal.
Podium Perlumbaan 1
1. Toprak Razgatlioglu (TUR) Pata Yamaha Prometeon WorldSBK
2. Jonathan Rea (GBR) Kawasaki Racing Team WorldSBK
3. Alvaro Bautista (SPA) Aruba.It Racing Ducati
Podium Perlumbaan Superpole
1. Toprak Razgatlioglu (TUR) Pata Yamaha Prometeon WorldSBK
2. Jonathan Rea (GBR) Kawasaki Racing Team WorldSBK
3. Alvaro Bautista (SPA) Aruba.It Racing Ducati
Podium Perlumbaan 2
1. Alvaro Bautista (SPA) Aruba.It Racing Ducati
2. Danilo Petrucci (ITA) Barni Spark Racing Team
3. Jonathan Rea (GBR) Kawasaki Racing Team WorldSBK