TIGA Kali Podium Keputusan Positif - Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/5/20251 min read


PELUMBA bintang Turki, Toprak Razgatlioglu menyifatkan tiga kedudukan sebagai naib juara di perlumbaan WorldSBK 2025 di Cremona, Itali sebagai keputusan yang positif.
Pelumba pasukan ROKit BMW Motorrad itu sebelum perlumbaan berulang kali menyatakan kekurangan cengkaman tayar belakang merencatkan peluangnya untuk mencabar kemenangan di Itali.
Dan kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya pelumba Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega untuk tampil dengan dominasi penuh menjuarai ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan.
"Bagi saya ia minggu yang amat sukar kerana pada tahun lalu saya tidak berlumba di sini, tetapi kami melakukan kerja yang bagus," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.
"Saya hanya memburu kemenangan tetapi ia amat sukar kerana Ducati ada kelebihan di sini, terutama ketika keluar daripada selekoh, Ducati amat bagus. Kami masih cuba untuk memperbaiki cengkaman kerana masalah terbesar saya adalah cengkaman belakang, jentera tidak memecut dengan baik.
"Tetapi apapun, kami melakukan kerja yang amat bagus, kami berjuang setiap pusingan untuk menang. Kami menamatkan perlumbaan di tempat kedua, lebih baik berbanding tangan kosong, ini juga bagus.
"Juga kami mengambil mata yang baik untuk kejuaraan dan kita akan lihat apa yang akan berlaku (di Most)."
Mengulas lanjut pertarungannya dengan Bulega, Razgatlioglu berkata segala usahanya untuk merapatkan jurang dengan pelumba itu memberikan risiko tambahan kepada tayar depan, selain tayar belakang.
"Daripada kesemua perlumbaan, kami amat hampir dengan Nicolo pada selekoh pertama tetapi selepas beberapa pusingan, apabila cengkaman tayar belakang mula menurun, di situ Ducati mula mendapat kelebihan.
"Tetapi saya tetap berjuang untuk kedudukan yang baik, tetapi ia juga amat sukar kerana apabila kami menekan terlalu kuat saya akan mula kehilangan cengkaman tayar dengan dan tayar belakang mula tergelincir dengan teruk, ada beberapa sektor saya baik dan ada beberapa sektor yang dia (Bulega) kuat.
"Ketika perlumbaan, kami sentiasa melakukan perkara ini, terutama apabila saya merapatkan sedikit jurang. Tetapi kami menamatkan tiga perlumbaan di podium, ini adalah positif buat saya."
