TIGA Model KTM 1390 Super Adventure Kini Di Malaysia, Harga Mula RM 144k!

Berbanding generasi terdahulu, KTM 1390 Super Adventure menerima peningkatan sesaran enjin V-twin daripada 1,301 cc kepada 1,350 cc dengan nadi baharu ini mampu menjana kuasa luar sekitar 173 hingga 175 PS berserta tork setinggi 145 Nm

PELANCARAN

10/24/20262 min read

PEMINAT motosikal gaya kembara atau 'Adventure' kelas premium di Malaysia kini disajikan dengan pilihan baharu apabila Eurotech Group (ETG) melancarkan tiga varian baharu siri KTM 1390 Super Adventure.

Diimport sepenuhnya dan dibangunkan di Austria, barisan model popular itu terdiri daripada KTM 1390 Super Adventure S (RM 144,000), KTM 1390 Super Adventure R (RM 146,500) dan varian tertinggi, KTM 1390 Super Adventure S Evo (RM1 53,000).

Berbanding generasi terdahulu, siri baharu ini menerima peningkatan sesaran enjin V-twin daripada 1,301 cc kepada 1,350 cc. Nadi baharu ini mampu menjana kuasa luar biasa sekitar 173 hingga 175 PS berserta tork setinggi 145 Nm.

Paling mencuri tumpuan pastinya varian tertinggi, Super Adventure S Evo yang menjadi sebagai model KTM pertama dilengkapi transmisi Automated Manual Transmission (AMT).

Dalam bahasa mudahnya, teknologi membolehkan penunggang menikmati pengalaman tunggangan tanpa klac, di mana penukaran gear, pelepasan mula dan berhenti diuruskan secara automatik. Varian ini turut disokong sistem Radar Hadapan Generasi ke-5 Bosch dan Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) secara standard.

Bagi varian KTM 1390 Super Adventure S, ia direka khusus untuk tunggangan jarak jauh pada kelajuan tinggi dengan keupayaan meredah laluan gravel. Ia dipadankan dengan sistem suspensi Teknologi Separa Aktif (SAT) WP, cermin penghadang angin yang boleh dilaras (tambahan 15 mm) serta lampu utama LED berserta lampu belokan.

Sementara itu, varian KTM 1390 Super Adventure R pula disasarkan buat peminat laluan off-road tegar. Ia dibezakan dengan padanan suspensi WP XPLOR yang lasak, cermin penghadang angin lebih pendek untuk kebebasan pergerakan, pelana tunggal, serta rim jejari 21 inci di depan dan 18 inci di belakang yang dibalut tayar knobby.

Ketiga-tiga model oni berkongsi penggunaan skrin sentuh TFT menegak bersaiz 8 inci yang serasi digunakan bersama sarung tangan dan menyokong sistem navigasi peta luar talian.

Lebih menarik, siri KTM 1390 Super Adventure ini menawarkan kos pemilikan yang lebih mesra pengguna apabila selang penyelenggaraan kelegaan injap ditingkatkan daripada 30,000 km kepada 60,000 km.

Seperti biasa, kesemua harga jualan asas yang ditawarkan adalah termasuk waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun. Pelanggan juga dijamin menerima perkhidmatan selepas jualan terbaik kerana kesemua mekanik di pengedar rasmi KTM menerima pensijilan antarabangsa dari KTM Austria.