TIGA Nama Ini 'Dipetik' Mick Doohan Calon Juara MotoGP 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/1/20241 min read
FRANCESCO Bagnaia, Jorge Martin dan menariknya, Marc Marquez menjadi tiga pelumba yang dipilih legenda MotoGP, Mick Doohan sebagai pencabar utama merebut kejuaraan dunia musim ini.
Selepas menjuarai gelaran kedua MotoGP musim lalu, Bagnaia 'mengganas' ketika ujian pra-musim di Malaysia dan Qatar yang memberi peringatan kepada kemampuan pelumba Ducati Lenovo itu.
Martin turut kurang hebatnya apabila muncul pelumba kedua terpantas di Sepang sebelum sedikit mengendur di Losail namun prestasinya sebagai naib juara musim lalu tidak boleh diketepikan.
Begitupun, Marquez yang juga juara dunia enam kali MotoGP tidak terlepas daripada senarai Doohan sekalipun ini penampilan sulungnya bersama jentera Ducati.
“Jorge Martin amat hampir untuk menjuarai kejuaraan dunia musim lalu. Saya dapat membayangkan yang ia akan berlaku sekali lagi," kata Doohan kepada MotoGP.com.
"Saya tidak begitu melihat sesi ujian tetapi Ducati kuat dan ada beberapa pelumba Ducati berada di depan dan Jorge adalah salah seorang daripadanya, selain daripada Bagnaia.
"Kamu tidak boleh mengetepikan Marc Marquez juga," kata pelumba legenda kelahiran Australia itu.
Mengulas lanjut, Doohan turut berkata kehadiran pelumba muda berbakat yang juga penyandang juara dunia Moto2, Pedro Acosta bakal memberikan cabaran sengit tetapi bergantung kepada kemampuan GasGas.
"Ia masih awal dan saya tidak melihat ujian dengan begitu banyak. Saya melihat beberapa keputusan ujian dan sukar untuk tahu apa yang akan berlaku.
"Selepas tiga atau empat perlumbaan kamu akan mendapat idea bagaimana persaingan musim ini bakal berlangsung."