TIGA Pasukan Sedang 'Intai' Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/4/20251 min read


FRANCESCO Bagnaia mengharungi kempen mengecewakan dalam kempen MotoGP musim ini dan situasi itu pantas mencetus spekulasi dia akan meninggalkan Ducati Lenovo.
Dan menurut beberapa media utama di Itali, khidmat juara dunia tiga kali itu sedang diintai beberapa pasukan sekiranya dia bertindak 'berpisah' dengan pasukannya.
Di sebalik hubungan baik dan masih memiliki kontrak dengan Ducati Corse, laporan penyiar Sky Italy menyatakan, Bagnaia dinamakan sebagai pelumba 'impian' bagi Yamaha bagi musim 2026.
Laporan itu menyebut pergelutan Bagnaia di atas litar, hubungan dengan rakan sepasukannya Marc Marquez serta 'tekanan' pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez mencipta spekulasi berkenaan.
Sementara itu, akhbar Gazzetta melaporkan dua pusingan berikutnya iaitu di Aragon, Sepanyol dan Mugello, Itali dikatakan sebagai penting untuk pelumba itu.
"Ketidakpuasan hati di Borgo Panigale wujud," laporan akhbar berkenaan.
"Mugello boleh menjadi penting untuk evolusi kejuaraan, terutama terhadap hubungan di antara pelumba dan pengeluar."
Lebih sensasi, akhbar itu melaporkan yang Bagnaia perlu menghasilkan keputusan yang menunjukkan dia serius dan jika tidak, 'perpisahan' itu hanya menunggu masa.
Laporan Gazzetta turut menyebut tiga pasukan sedia mendapatkan khidmat Bagnaia.
Selain Yamaha, yang menyaksikannya akan bergandingan dengan Fabio Quartararo, pasukan milik legenda Itali, VR46 Ducati juga dikatakan berminat dengan bekas graduan Akademi VR46 itu.
Dan situasi semasa membabitkan Jorge Martin turut menyaksikan Aprilia menyertai senarai itu, kata Gazzetta.
Tidak diketahui bagaimana 'drama' antara Martin dan Aprilia akan bermain tetapi jika pelumba Sepanyol bertindak untuk angkat kaki, ia memberikan kekosongan kepada Bagnaia mengisi lompong berkenaan.
Di Silverstone, Bagnaia menamatkan Perlumbaan Sprint di kedudukan ke-6 dan terjatuh pada Perlumbaan GP yang menyaksikannya ketinggalan 72 mata di belakang Marc Marquez.
