TIGA Pendidik 'Tular' Pos Balar Dapat Hadiah Kapcai 'ADV' Aveta Ranger Max Explorer
TERKINI
3/8/20241 min read
AVETA Motor Malaysia dalam inisiatif 'Off-Road Education Outreach: Teachers Rally with Aveta' menghadiahkan tiga buah motosikal kapcai 'Adventure' Aveta Ranger Max Explorer kepada tiga guru yang bertugas Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Kelantan.
Ketiga-tiga guru berkenaan adalah Muhammad Halim Muhammad Zaid atau lebih dikenali Cikgu Offroad, Mazlan Ismail dan Nik Zulkiffli Nikman.
Sebelum ini, Cikgu Offroad dan rakan-rakannya menjadi perhatian dan tular di media sosial menerusi videonya merentasi jalan pedalaman yang mencabar untuk mendidik anak-anak Orang Asli di SK Balar.
Berikutan amanah yang diberikan, ketiga-tiga guru berkenaan perlu menempuh perjalanan lasak dan mencabar sejauh 60 kilometer yang meliputi laluan balak, berbukit, denai dan hutan belantara.
Dan motosikal Aveta Ranger Max Explorer yang memang memiliki keupayaan serba boleh sahaja yang mampu mengharungi perjalanan sedemikian sememangnya amat diharapkan.
Aveta Motor Malaysia menerusi Pengarah Urusannya, Steven Lim menjelaskan ketabahan dan usaha ketiga-tiga guru berkenaan memberi inspirasi dan mendorong pihaknya untuk memberikan bantuan.
Sebagai info, Aveta Ranger Max Explorer dihasilkan sebagai motosikal 'Cub' atau 'Kapcai' yang mempunyai rekaan unik bagaikan 'motocross'.
Ketika pelancarannya pada penghujung tahun lalu, harga yang diumumkan untuk motosikal berkenaan adalah RM 6,988 (asas) tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Mengulas ringkas trenkuasa, Aveta Ranger Max Explorer dijana enjin bersesaran 127 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.
Menurut Aveta Motor Malaysia, ketiga-tiga unit Aveta Ranger Max Explorer yang dihadiahkan kepada guru berkenaan lengkap dengan jaminan selama dua tahun daripada syarikat berkenaan.