'TIKET Rahmah' GP Malaysia 2023 Diperkenalkan, RM 49.90, Turut Tersedia Menu 'Rahmah'!

TULAR

9/13/20231 min read

EDISI ke-24 Grand Prix (GP) Malaysia yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 November depan tampil dengan sesuatu yang sedikit berbeza apabila SIC dan KBS memperkenalkan inisiatif dikenali sebagai 'Tiket Rahmah'.

Perkembangan menarik itu diperoleh ketika majlis pelancaran GP Malaysia 2023 yang berlangsung, hari ini di ibu negara.

Turut mengumumkan tema tahun ini iaitu 'kasigegar', Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata untuk 'Tiket Rahmah', harga yang ditetapkan adalah RM 49.90.

Lebih menarik, selain tiket perlumbaan yang 'marhaen', turut tersedia adalah inisiatif 'Menu Rahmah' yang menyaksikan pemegang tiket berkenaan membeli makanan dan minuman ketika perlumbaan pada harga berpatutan.

Begitupun, 'Tiket Rahmah' itu diposisikan kepada kawasan penonton 'K2 Hillstand' dan terhad kepada 7,000 tiket.

Dan kepada yang berminat untuk mendapat tiket berkenaan, pembeliannya boleh dilakukan secara atas talian dan di kaunter pembelian tiket SIC.

SIC dalam pada itu turut memaklumkan tiada sebarang sekatan atau had pembelian dibuat oleh pembeli tetapi ia hanya boleh dibeli oleh warganegara Malaysia.

Selain itu, SIC turut mengumumkan hadiah cabutan bertuah 'MotoGP™ Mega Lucky Draw' iaitu 3 unit motosikal Yamaha R25 yang dipadankan dengan corak grafik istimewa Racing Boy.

Turut diumumkan oleh SIC adalah penghasilan aplikasi yang bakal memudahkan pemegang tiket perlumbaan GP Malaysia 2023 yang dibangunkan oleh Axrail.AI dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS).