TINGGALKAN Ducati, Sertai LCR Honda, Ini Penjelasan Panjang Johann Zarco
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/21/20232 min read


PRAMAC Ducati akhirnya sah 'berpisah' dengan pelumbanya, Johann Zarco sejurus musim ini berakhir dan jaguh kelahiran Perancis itu pantas dipikat dan bergelar pelumba LCR Honda musim depan.
Seperti tak sabar untuk melepaskan Zarco - kononnya untuk memberi ruang kepada seorang pelumba muda - pengumuman mengenai perkara itu dibuat sejurus perlumbaan Grand Prix (GP) Austria, semalam berakhir.
Bersama LCR Honda, Zarco diberikan kontrak selama dua tahun berbanding setahun bersama Ducati. Tetapi berbanding menunggang jentera Desmosedici yang kompetitif, bekas juara dunia Moto2 itu akan menunggang jentera Honda RC213V yang hanya merekodkan satu kemenangan sepanjang dua tahun.
Tetapi andai kekal bersama Ducati, pelumba berusia 33 tahun itu mendedahkan dia mungkin tidak akan bersama Pramac dan tidak menggunakan jentera terbaharu Ducati di kejuaraan berkenaan.
"Saya perlu berfikir selama beberapa minggu mengenainya," kata Zarco kepada MotoGP.com. “Sekalipun memperoleh keputusan yang baik selama tiga tahun bersama Pramac, sukar untuk menandatangani kontrak baharu ketika ini.
"Ada ramai pelumba yang kompetitif di Ducati, ramai pelumba muda, jadi nampaknya agak sukar untuk menandatangani kontrak baharu sekalipun sama ada bersama Pramac atau pasukan lain di Ducati.
"Jadi tawaran dan perbincangan dengan Honda dan Lucio Cecchinello (Bos LCR) agak menarik. Saya berpeluang untuk mengikuti projek selama dua tahun, di usia 33 tahun. Ia agak bagus untuk diri saya sendiri dan sebagai pelumba, lakukan yang sebaik mungkin.
"Saya tahu diri saya dan apabila saya berada di atas jentera, saya memberikan segala-gala dan turut memberikan maklumat yang baik.
"Saya lebih berpengalaman sejak 2019 apabila berdepan tempoh sukar dengan KTM. Tetapi Honda adalah certa yang berbeza, dan sekalipun mereka bergelut ketika ini, tidak mempunyai jentera yang boleh menang ketika ini, mereka masih Honda dan mereka mempunyai kemampuan untuk bangkit jika berjaya mencari jalan dalam pembangunan.
"Jadi, saya masih amat berbangga jika menjadi sebahagian daripadanya dan amat lega jika saya boleh beraksi dengan cemerlang."
Zarco dalam pada itu berkata dia masih komited untuk menamatkan kempen musim ini dengan cemerlang bersama Pramac termasuk bergelar juara keseluruhan (pasukan).
"Jika saya boleh kekal dalam kedudukan lima terbaik kejuaraan (individu) keseluruhan, ia satu kepuasan yang besar."
Selain Pramac Ducati dan KTM, Zarco pernah berlumba bersama LCR Honda selain turut pernah bergelar pelumba Suzuki dan Yamaha.
Mengulas kekecewaan Alex Rins di LCR Honda yang disifatkan 'lembab', Zarco berkatanya dirinya bertambah matang ketika ini.
"Karakter saya dengan Alex Rins tak sama dan dengan pengalaman berbeza bersama Yamaha, KTM, Honda, Suzuki dan Ducati, saya dapat mengadaptasi diri saya dengan pelbagai situasi," kata Zarco yang turut menyatakan dia kini lebih 'bersedia' berbanding ketika masih bergelar palumba KTM.
"Ia akan menjadi sesuatu yang berbeza kerana kehidupan saya ketika ini berbeza. Saya membesar sebagai ahli sukan, dan saya boleh melihat situasi satu langkah ke depan.
"Apabila saya berpindah daripada Yamaha ke KTM, saya mahu memenangi perlumbaan dengan apa cara sekalipun, jadi kerana itu saya merasa amat teruk apabila saya berada di kedudukan belakang.
"Kerana itu saya berkata kepada KTM 'lebih baik berhenti daripada membayar saya untuk perkara yang sia-sia'.
"Kini mentalitinya berbeza. Dan seperti saya cakap, saya mengambilnya sebagai projek, ia agak bagus kerana dua tahun 'tambahan' di MotoGP ini adalah tempat terbagus, dan juga lokasi yang saya inginkan kerana saya amat kompetitif.
"Jadi kerana itu saya mahu mengambil cabaran ini dengan baik dan melakukan lebih baik berbanding di KTM kerana saya lebih matang. Jadi jika berlaku masalah, saya akan menanganinya semgan lebih baik berbanding sebelum ini."




