TKKR Racing 'Terbang' Ke Buriram, Azlan Shah, Markus Reiterberger Sah Beraksi Di ASB1000

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/12/20241 min read

TKKR Racing Team, pasukan penyandang juara kelas elit ASB1000 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) mengesahkan penampilannya di Pusingan 1 perlumbaan itu musim ini apabila 'terbang' ke Thailand.

Perkembangan menarik itu diperoleh memetik laporan media tempatan yang menyaksikan krew pasukan itu termasuk pelumbanya, Azlan Shah Kamaruzaman membuat perjalanan ke Buriram bagi menghadapi aksi berkenaan.

Sebelum ini, timbul keraguan mengenai penampilan TKKR Racing Team di ARRC musim ini susulan masalah dana terutama disebabkan kesulitan pasukan itu untuk mendapatkan penaja.

Berdasarkan laporan berkenaan, TKKR Racing Team berjaya memperoleh dana yang diperlukan daripada jualan motosikal, alat ganti, barangan cenderahati dan sumbangan peminat.

Begitupun jumlah yang diperoleh iaitu sekitar RM 180,000 hanya cukup untuk pasukan itu beraksi bagi Pusingan 1 di Thailand.

Justeru menurut Ketua Pasukan TKKR Racing Team, Adam Fiqri Bobbie Farid berkena pihaknya perlu mencari dana tambahan terutama penaja andai pasukan itu mahu meneruskan kempen musim ini secara sepenuh musim.

Malah katanya, pasukan itu tidak akan menggunakan jentera BMW M1000RR spesifikasi tahun 2024 namun mengharapkan jentera musim lalu yang berjaya membawa pasukan itu muncul juara keseluruhan.

Sementara itu, Azlan Shah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan penampilan pasukan itu di Thailand.

Selain Azlan, pasukan itu menerusi laman sosial rasminya turut mengesahkan pelumbanya yang juga penyandang juara keseluruhan ASB1000, Markus Reiterberger turut akan beraksi.

Tetapi tidak diketahui akan mendapatkan sokongan daripada BMW Motorrad seperti musim lalu.