TMJ Ucap Tahniah Kejayaan Hafizh Syahrin
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT Racing Team itu mendedahkan baginda adalah individu yang bertanggungjawab memberi peluang kepada Hafizh Syahrin ketika ramai pihak mula meragui kemampuan bekas pelumba MotoGP itu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/10/20251 min read


KEJAYAAN pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah yang melakar sejarah muncul juara keseluruhan kelas perdana ASB1000 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini mendapat penghargaan istimewa Tunku Mahkota Ismail.
Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT Racing Team itu mendedahkan baginda adalah individu yang bertanggungjawab memberi peluang kepada Hafizh ketika ramai pihak mula meragui kemampuan bekas pelumba MotoGP itu.
Malah, Tunku Mahkota Ismail yang turut popular dengan panggilan TMJ (Tunku Mahkota Johor) turut menjelaskan yang keputusan untuk memberikan kepercayaan kepada Hafizh dibuat ketika pelumba itu dikritik hebat dan ada pihak yang mendakwanya sudah melepasi zaman kemuncak.
Tetapi pada Ahad lalu, kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan oleh TMJ dibalas Hafizh dengan menjulang trofi berkenaan.
"Alhamdulillah motosikal kita menang. Tahniah kepada Hafizh Syahrin. Orang cakap dia sudah habis, orang cakap dia tak berguna. Saya ambil dia bila orang tak percaya kepada dia. (Saya) beri dia kepercayaan, sokongan, dan hari ini dia juara.
"Apa yang saya buat ini Alhamdulillah ada hasil (keputusan)," katanya.
Selain bergelar juara keseluruhan kategori pelumba, pasukan JDT Racing Team yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R dan menjadi satu-satunya pasukan menggunakan jenama itu menamatkan saingan keseluruhan kategori pengeluar sebagai naib juara.
Daripada 12 perlumbaan pada musim ini, pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya menamatkan perlumbaan sebagai juara sebanyak empat kali dengan keseluruhan lapan podium manakala gelaran terpaksa ditentukan pada perlumbaan terakhir di Buriram, Thailand.
Selepas memenangi Perlumbaan 1 pada Sabfu, tempat kedua pada Perlumbaan 2 pada Ahad sudah cukup untuk mengesahkan gelaran juara dengan kelebihan tiga mata berbanding pencabar terdekatnya, Nakarin Atiraphuvapat dari Thailand (Honda Racing Thailand).
Pada penampilan pertamanya musim lalu, Hafizh yang pernah beraksi di pentas WorldSBK menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dengan kejayaannya turut membuktikan visi TMJ dalam mengembangkan jenama JDT melangkaui sukan bola sepak kini membuahkan hasil yang positif.

