TOPRAK Bagi Amaran, Pemburuan Kejuaraan Dunia WSBK Belum Berakhir

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/17/20231 min read

JAGUH Yamaha dan Turki, Toprak Razgatlioglu melengkapkan kemenangan berganda di pentas WorldSBK musim ini di Imola, Itali dan memberi amaran - pemburuan kejuaraan dunia belum berakhir.

Selepas melihat penyandang juara dunia dari Ducati, Alvaro Bautista menjuarai Perlumbaan 1 pada Sabtu, Toprak yang memulakan aksi di petak utama enggan situasi sama berulang.

Dan ditambah dengan kesilapan dilakukan Bautista, juara dunia WSBK 2021 itu menyapu bersih kedua-dua perlumbaan ditawarkan pada Ahad - Superpole dan Perlumbaan 2.

"Saya amat gembira. Malang apa yang terjadi kepada Bautista. Saya melihatnya mengalami kemalangan dan hanya menyempurnakan perancangan saya.

"Rancangan saya berjalan dengan amat lancar. Pada tiga pusingan terakhir, saya memintas Axel. Saya amat gembira kerana saya menunggu amat lama untuk menang. Dan kejuaraan belum berakhir."

Untuk Toprak, kemenangan berganda di Imola adalah kemenangan keempatnya pada musim ini dengan Bautista dilihat di landasan tepat mengekalkan kejuaraan dunia dimilikinya musim lalu.

Selepas tujuh pusingan, Bautista sudah mengumpul 17 kemenangan dan menariknya, hanya dua pelumba (Toprak) merasai nikmat kemenangan musim ini.

Setakat ini, Bautista mengumpul keseluruhan 391 mata manakala Toprak yang bakal berhijrah dari Yamaha musim depan di tangga kedua dengan 321 mata.