TOPRAK Razgatlioglu Ada Peluang Sertai Monster Yamaha, Tapi...

Pelumba bintang WorldSBK, Toprak Razgatlioglu dedah ada peluang untuk berlumba bersama pasukan 'kilang' Monster Yamaha pada musim 2027 tetapi dengan syarat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/18/20251 min read

PELUMBA bintang Turki, Toprak Razgatlioglu mendedahkan dia mempunyai 'pilihan' untuk berlumba bersama pasukan 'kilang' Monster Yamaha pada musim 2027 dengan syarat.

Dan syarat untuk menjadi rakan sepasukan kepada juara dunia 2021, Fabio Quartararo itu adalah bergantung kepada prestasinya pada kempen MotoGP 2026.

Razgatlioglu sah beraksi di MotoGP pada musim depan selepas menandatangani kontrak bersama Yamaha Racing sebagai pelumba Pramac Yamaha namun timbul persoalan mengenai masa depan pelumba itu melebihi musim 2026.

"Saya tidak tahu jika saya cukup kompetitif pada 2026, mungkin (berpindah ke pasukan kilang Yamaha pada 2027) boleh berlaku, jadi tahun depan akan menjadi amat penting," kata Razgatlioglu memetik laporan GPOne.

"Jika saya melakukannya dengan baik, ada pilihan, kita akan lihat."

Penyandang juara dunia WorldSBK bersama BMW Motorrad itu turut mengakui perpindahannya ke MotoGP pada musim depan memberikan motivasi tambahan untuk mempertahankan gelaran dunia musim ini.

"Ya, ia seperti itu," kata Razgatlioglu mengenai situasi itu. "Ini kerana saya tahu saya akan mengharungi tempoh dua tahun di MotoGP.

"Impian terbesar saya, sasaran terbesar saya, adalah untuk berada di sana selepas memenangi gelaran dunia 2025 di WorldSBK."

Ketika ini, Razgatlioglu ketinggalan 9 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Nicolo Bulega dari Ducati.