TOPRAK Razgatlioglu Ada Peluang Uji Jentera MotoGP Lebih Awal
BMW Motorrad tiada sekatan terhadap pelumba bintangnya, Toprak Razgatlioglu jika penyandang juara dunia WorldSBK itu ingin melakukan ujian bersama pasukannya di MotoGP pada musim depan, Pramac Yamaha
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/8/20251 min read


BMW Motorrad dikatakan tidak akan menghalang pelumbanya, Toprak Razgatlioglu untuk menguji jentera MotoGP Yamaha M1 lebih awal.
Pelumba bintang Turki, Razgatlioglu bakal meninggalkan kempen WorldSBK pada musim ini untuk menyertai saingan MotoGP pada 2026 bersama pasukan Pramac Yamaha.
Penyandang juara dunia WorldSBK itu ketika ini sedang memimpin carta kedudukan pelumba bagi musim ini dan berharap untuk tiba di MotoGP sebagai penyandang juara.
Sebagai pelumba WorldSBK dan 'rookie' di MotoGP, Razgatlioglu perlu mengadaptasi dengan penggunaan tayar dan jentera di kejuaraan berkenaan.
Mengikut jadual, dia dijangka akan menguji jenteranya ketika ujian post-musim di Valencia yang berlangsung selepas kempen MotoGP musim ini berakhir.
Tetapi menurut laporan GPOne, Razgatlioglu berpeluang untuk menguji jentera Yamaha M1 lebih awal.
Bekas pelumba Yamaha di WorldSBK itu menyertai BMW Motorrad pada musim lalu dan memiliki kontrak sehingga penghujung 2025 dan situasi itu memberikan pengeluar Jerman itu kuasa untuk menghalangnya daripada memulakan kempennya di MotoGP lebih awal.
Tetapi menurut GPOne, BMW Motorrad gembira untuk membantu juara dunia WorldSBK dua kali itu untuk menyesuaikan diri dengan paddock baharu.
Kempen WorldSBK pada musim ini berakhir pada 19 Oktober ini di Jerez yang membuatkan Razgatlioglu berpeluang untuk menguji jentera baharunya seawal November.
