TOPRAK Razgatlioglu Akui Masih 'Dihantui' Insiden 'Pelik' Tahun lalu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/21/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu berjaya meneruskan rentak kemenangannya dengan memenangi Perlumbaan 1 WorldSBK di Most, semalam tetapi mengakui masih dihimpit insiden 'pelik' membabitkan tayar yang dihadapinya tahun lalu.

Kemenangan di Republik Czech menyaksikan pelumba kelahiran Turki itu meneruskan deretan kemenangannya kepada lapan berturut-turut.

Begitupun pada penghujung perlumbaan, pelumba pasukan ROKIT BMW Motorrad WorldSBK dilihat seperti sengaja memperlahankan rentaknya sebelum melintasi garisan penamat dengan kelebihan lebih 5 saat di depan pemenang tempat kedua, Danilo Petrucci.

Mengulas kejayaannya itu, Razgatlioglu menyebut kemalangan yang dihadapinya bersama Yamaha ketika sedang mendahului pada Perlumbaan 2 musim lalu terbayang di fikirannya.

"Saya amat gembira kerana saya amat kuat," kata Razgatlioglu. "Mungkin tidak seperti di Donington kerana ia di tahap yang berbeza.

"Tetapi di sini, saya agak dekat dengan pelumba-pelumba lain tetapi kelajuan saya ketika perlumbaan cukup bagus.

"Pada empat atau lima pusingan terakhir saya merapatkan jurang kerana saya mengingati pada tahun lalu yang saya mengalami kemalangan di selekoh kedua.

"Kami menang dan ini adalah perkara yang bagus. Saya amat gembira."

Mengulas lanjut, Razgatlioglu berkata dia akan lebih agresif pada Perlumbaan Superpole, hari ini.

"Bagi saya ia mudah kerana saya fokus kepada tugas saya," kata Razgatlioglu.

"Saya tidak melakukan sebarang kesilapan dan hanya fokus kepada catatan masa sepusingan. Segala-galanya berada dalam kawalan tetapi kadang kala segala-galanya tidak berjalan dengan baik. Tetapi pada perlumbaan ini perasaan saya cukup baik.

"Esok (hari ini), kami tahu yang pada perlumbaan yang singkat saya perlu memberikan lebih banyak tekanan kerana perlumbaan 10 pusingan tidak memberikan masalah kepada tayar.

"Tetapi saya amat gembira juga kerana kelayakan yang kami dapat dan masa sepusingan yang menakjubkan."