TOPRAK Razgatlioglu Akui 'Sayap Aero' Patah Tambah Kesukaran
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/12/20241 min read


TOPRAK Razgatlioglu mengakui kemenangan yang diraihnya pada Perlumbaan 2 WorldSBK Pusingan 7 WSBK 2024 di Portimao, Portugal cukup sukar terutama apabila 'Sayap aero' kiri jenteranya patah.
Memahat rekod baharu WSBK sebagai pemenang berturut-turut paling banyak (13 kemenangan) selepas aksi di Portugal melabuhkan tirainya, pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu jelas tidak mendapat kemenangan mudah.
Malah selepas beberapa kali dipintas, kelebihan sebagai pendahulu juga sentiasa diancam terutama daripada dua pelumba Ducati, Alvaro Bautista dan Nicolo Bulega sehingga garisan penamat.
Dan situasi membabitkan jenteranya yang mengalami kerosakan iaitu kehilangan 'Sayap aero' susulan pelanggaran dengan pelumba Kawasaki Racing, Alex Lowes meningkatkan lagi darjah kesukarannya.
"Perlumbaan ini bagi saya amat sukar dan tidak mudah untuk mengendalikan jentera berikutan keadaan angin kuat," kata Razgatlioglu.
"Tetapi saya sentiasa berjuang kerana saya tahu hanya di sektor terakhir saya amat perlahan kerana jentera tidak mengambil selekoh dengan baik di selekoh terakhir.
"Di laluan lurus, saya tidak dapat memahami bagaimana saya melanggar Alex tetapi 'Winglet' kiri saya di bahagian kiri patah.
"Selepas itu, jentera saya tidak mahu membelok, terutama di sektor terakhir dan juga pada selekoh terakhir di mana saya kehilangan hampir setengah saat."
Mengulas lanjut, Razgatlioglu mengakui Ducati tampak seperti mengetahui kekurangannya yang memaksanya bekerja lebih keras pada empat atau lima pusingan terakhir.
"Pada selekoh terakhir, saya perlu memberikan 100 peratus sebelum ke sektor terakhir dan saya membuat perancangan itu dan ia berhasil
"Ia kerja yang menakjubkan pada minggu ini dan perasaannya sukar dipercayai. Ini adalah yang ke-13 (kemenangan berturut-turut), dan ke-54 secara keseluruhan.
"Ia cukup baik dan saya amat gembira. Ia minggu yang amat baik untuk kami dan juga pasukan saya, semua orang bekerja dengan amat keras," kata Razgatlioglu yang ketika ini memimpin carta kejuaraan WorldSBK dengan kelebihan 92 mata di depan pencabar terdekatnya, Bulega.
