TOPRAK Razgatlioglu Ancam Tinggalkan WorldSBK, 'Dah Macam Piala Ducati'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/24/20251 min read


TOPRAK Razgatlioglu mengeluarkan 'ancaman' untuk meninggalkan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) jika Ducati berteruskan mendominasi pentas perlumbaan itu.
Ducati memenangi ketiga-tiga perlumbaan di Phillip Island pada pusingan pembukaan WSBK 2025 minggu ini menerusi pelumba pasukan 'kilang', Nicolo Bulega.
Begitupun, prestasi yang ditampilkan pelumba-pelumba pasukan 'satelit' atau persendirian Ducati mengejutkan Razgatlioglu.
Pelumba kelahiran Turki itu menjadi satu-satunya pelumba yang berada dalam kelompok enam terbaik pada Perlumbaan 1 dengan kedua-dua pentas podium Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2 didominasi Ducati.
"Tahun lalu, ya, (Nicolo) Bulega (kuat), tahun ini saya tidak terkejut yang dia masih laju dan Alvaro (Bautista) juga tidak buruk," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com selepas Perlumbaan 2.
"Tetapi tahun ini, semua pelumba Ducati berada di depan, ini tidak normal, dan ini mengapa saya katakan yang WorldSBK hampir seperti Piala Ducati.
"Saya berharap ia tidak berterusan seperti ini kerana semua orang tidak menikmati perkara seperti ini. Jika WorldSBK terus seperti ini di masa depan, saya tidak fikir yang saya akan berlumba lagi di sini."
Pada Perlumbaan Superpole, kedudukan podium dilengkapkan dua pelumba pasukan persendirian yang turut menunggang Ducati Panigale V4R, Andrea Iannone dan Danilo Petrucci dengan Bautista meraih tempat kedua Perlumbaan 2 dengan Iannone meraih tempat ketiga.
Razgatlioglu dalam pada itu memperoleh minggu yang sukar di Phillip Island.
Penyandang juara dunia WorldSBK itu pada ujian pra-musim pada Isnin berdepan kemalangan dan berdepan situasi sama pada sesi ujian bebas 1 pada Jumaat.
Sekalipun memperoleh tempat kedua pada Perlumbaan 1, masalah brek menyaksikannya menamatkan Perlumbaan Superpole di tempat ke-12 dan masalah teknikal memaksanya keluar daripada Perlumbaan 2.
