TOPRAK Razgatlioglu Belum Nak Fokus Gelaran Dunia
Toprak Razgatlioglu akan mengharungi rehat musim panas dengan nota gembira sebagai pendahulu kejuaraan WorldSBK selepas merangkul gelaran hatrik di Balaton Park, Hungary
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/28/20251 min read


GELARAN hatrik di Balaton Park, Hungary menyaksikan deretan kemenangan pelumba bintang Turki, Toprak Razgatlioglu meningkat kepada sembilan kemenangan berturut-turut sebelum kempen WorldSBK memasuki rehat musim panas.
Dan di sebalik kejayaan mengukuhkan kedudukannya di puncak carta kedudukan pelumba WorldSBK, pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu menjelaskan fokusnya tidak tertumpu kepada menjulang gelaran dunia.
"Saya fokus kepada kejuaran, saya melihat kepada perlumbaan demi perlumbaan. Ini amat penting bagi saya," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.
"Perlumbaan seterusnya adalah di Magny-Cours dan pada tahun lalu, saya tidak berlumba di sana. Saya akan cuba untuk dapatkan hatrik di sana. Saya berharap kami akan menang lagi kerana saya sudah memperoleh sembilan kemenangan berturut-turut.
"Magny-Cours adalah salah satu daripada litar kegemaran saya dan saya perlu menang di sana kerana Aragon dan Jerez, saya fikir kesemua pelumba Ducati akan kuat di sana.
"Kami adalah pendahulu kejuaraan dan kami mempunyai jurang yang besar, tetapi ini adalah perlumbaan dan segala-galanya tidak mustahil."
Selesai kempen di Balaton Park, Razgatlioglu kini memiliki kelebihan 12 mata di depan pencabar terdekatnya, Nicolo Bulega dari Ducati yang turut tidak mengutip mata pada Perlumbaan Superpole.
Tetapi apa yang menarik, kemenangan hatrik turut menyaksikan Razgatlioglu terus mencetak namanya dalam sejarah WorldSBK sebagai pelumba yang menjuarai perlumbaan ke-1000 kejuaraan berkenaan.
"Ia minggu yang menakjubkan. Kami bermula dengan amat kuar kerana ia adalah litar yang baru untuk semua orang. Saya mengadaptasi dengan pantas. Kami melakukan kerja yang bagus dengan pasukan. Saya gembira.
"Perlumbaan Superpole amat sukar berikutan ada banyak permukaan yang basah di litar. Kami hanya mempunyai garisan yang kering tetapii di beberapa bahagian ia masih basah. Kami tidak melakukan kesilapan, hanya menunggang dan fokus kepada rentak kelajuan.
"Perlumbaan ini amat penting kerana saya memenangi perlumbaan ke-800 dan 900, dan saya perlu memenangi yang ke-1000. Saya amat gembira. Ini benar-benar perlumbaan yang istimewa kepada saya."
