TOPRAK Razgatlioglu Bengang, Tuduh Pelumba Lain 'Tak Hormat' Perebutan Kejuaraan WorldSBK
Razgatlioglu, yang menamatkan perlumbaan Perlumbaan 2, semalam sebagai naib juara mendakwa beberapa pelumba bertindak agresif dan tidak beretika ketika awal perlumbaan sehingga menjejaskan peluangnya untuk mengejar pelumba Ducati, Bulega
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/13/20251 min read


PELUMBA ROKiT BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap segelintir pelumba WorldSBK yang didakwanya tidak menghormati perebutan kejuaraan WorldSBK musim ini antara dirinya dan Nicolo Bulega di Estoril, Portugal.
Razgatlioglu, yang menamatkan perlumbaan Perlumbaan 2, semalam sebagai naib juara mendakwa beberapa pelumba bertindak agresif dan tidak beretika ketika awal perlumbaan sehingga menjejaskan peluangnya untuk mengejar pelumba Ducati, Bulega.
“Pada awal dua pusingan, saya rasa ada pelumba yang langsung tak hormat kejuaraan ini. Saya cuba memintas mereka, tetapi mereka balas dengan aksi berbahaya di selekoh. Ini bukan cara yang betul,” katanya kepada WorldSBK.com selepas perlumbaan di Estoril.
Razgatlioglu yang bermula dari petak utama namun tergelincir ke kedudukan kelima sebaik perlumbaan bermula.
Dia terpaksa bekerja keras untuk memintas Alvaro Bautista, Andrea Iannone dan Andrea Locatelli sebelum kembali ke tempat kedua pada penghujung pusingan kedua.
Meskipun tidak meluhakannya secara terbuka, pelumba kelahiran Turki itu mengakui kecewa kerana kehilangan masa berharga untuk mengejar Bulega.
“Saya cuba fokus dan kejar Bulega, tapi bila saya sampai di tempat kedua, jurang sudah melebihi satu saat. Saya berusaha habis-habisan pada setiap pusingan, tetapi tayar belakang mula hancur dan tujuh pusingan terakhir memang sukar,” katanya.
Toprak turut mendedahkan masalah teknikal yang dialaminya sepanjang Perlumbaan, termasuk tayar yang cepat haus, sistem brek enjin yang gagal berfungsi dan jentera yang sukar dikawal.
“Bila tayar mula menurun, jentera menjadi liar, tak boleh berhenti, tak boleh pecut, dan mula bergegar. Saya hanya mampu geleng kepala,” katanya.
Begitupun, pelumba berusia 27 tahun itu tetap positif dan kini mengalihkan fokus ke pusingan seterusnya di Jerez.
“Tempat kedua sudah cukup untuk kutip mata penting. Sekarang saya fokus ke Jerez. Masih ada ruang, kita tengok nanti,” katanya.
